WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DELEGASI KEMENTERIAN KOMUNIKASI TEROKA PELUANG KERJASAMA DENGAN PUSAT MEDIA ISLAM KEMBOJA

27/11/2024 10:34 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Delegasi Kementerian Komunikasi yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Nik Kamaruzaman Nik Husin hari ini melawat Pusat Media Islam di Kemboja.

Kementerian Komunikasi dalam kenyataan memaklumkan lawatan itu bersempena dengan Mesyuarat Jawatankuasa ASEAN mengenai Kebudayaan dan Maklumat (ASEAN-COCI) kali ke-59 yang dihadiri delegasi Malaysia bermula hari ini hingga 30 Nov depan.

Ketibaan delegasi itu disambut oleh Penasihat Kementerian Penerangan Kemboja berkaitan Hal Ehwal Islam merangkap Presiden Pusat Media Islam Kemboja Dr Sles Nazy, dan mereka kemudiannya diberikan taklimat mengenai perkembangan dan cabaran umat Islam di negara berkenaan.

Perbincangan strategik dua hala turut diadakan dalam lawatan hampir sejam itu, bagi meninjau peluang kerjasama antara kedua-dua pihak seperti latihan dan kursus secara maya oleh Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) yang bersesuaian dengan keperluan pusat berkenaan dalam bidang multimedia dan kecerdasan buatan (AI).

“Pusat Media Islam Kemboja yang juga sebuah badan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkan pada 2014 menerusi sumbangan dana oleh ahli perniagaan dan masyarakat Islam Kemboja yang berfungsi menyebarkan maklumat serta penerbitan komuniti Islam di negara berkenaan.

“Pusat yang diiktiraf kerajaan Kemboja itu turut menyediakan kemudahan studio mini yang memberi ruang kepada pendakwah-pendakwah Islam untuk membuat rakaman multimedia sebagai bahan kandungan kreatif yang disebarkan melalui media sosial di Kemboja,” menurut kenyataan itu.

Delegasi kementerian turut sertai oleh Ketua Pengarah IPPTAR Roslan Ariffin dan pegawai-pegawai kanan Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan