WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PROJEK SVTP: ADVANCECON BAYAR EX-GRATIA KEPADA 97 PETANI

28/11/2024 10:41 AM

IPOH, 28 Nov (Bernama) -- Syarikat pemaju Advancecon Holdings Berhad (Advancecon) menyumbangkan bayaran ex-gratia kepada 97 petani setinggan yang menjalankan aktiviti pertanian di tapak projek Silver Valley Technology Park (SVTP) milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) di Khantan, Chemor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan, dan Pembangunan Koridor Negeri Loh Sze Yee berkata pemberian itu merupakan tanda ihsan yang mencerminkan pendekatan berhemah dalam melaksanakan projek pembangunan, sambil mengambil kira kepentingan pelbagai pihak termasuk petani yang terlibat.

“PKNPk, Perak Corporation Berhad (PCB) dan Advancecon memahami bahawa pembangunan SVTP memerlukan kerjasama semua pihak untuk memastikan kelancaran pelaksanaannya berlandaskan undang-undang.

“Bayaran ex-gratia ini bukanlah suatu kewajipan, tetapi ia mencerminkan keprihatinan menyeluruh dalam pelaksanaan projek pembangunan berskala besar seperti SVTP,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pengesahan dan Penyerahan Ex-Gratia di Hotel Casuarina@Meru, di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak Sandrea Ng Shy Ching, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKNPk Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, CEO PCB Rosmin Mohamed serta Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Advancecon Tan Chee Keong.

Pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP), yang merupakan antara projek berskala besar di Perak, menghadapi pelbagai cabaran apabila berdepan konflik dengan kumpulan petani setinggan yang dilaporkan menduduki kawasan tersebut secara tidak sah sejak lebih 20 tahun lalu.

Walaupun kerajaan negeri telah menawarkan tapak alternatif kepada semua petani terbabit di Changkat Kinding, Chemor, pada pertengahan 2021, namun hanya segelintir daripada mereka yang bersetuju menerima tawaran tersebut.

Loh berkata pihaknya berharap sumbangan itu akan dimanfaatkan oleh para petani berkenaan untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka serta merancang masa depan yang lebih baik.

Dalam perkembangan berkaitan, Redza Rafiq berkata projek SVTP yang berkeluasan 326.4 hektar dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM1.03 bilion itu dijangka mewujudkan lebih 13,000 peluang pekerjaan kepada rakyat.

“PCB selaku anak syarikat PKNPk telah diberi mandat untuk memajukan SVTP melalui perjanjian usahama dengan Advancecon. Kita yakin projek ini berpotensi menjadi kawasan perindustrian bertaraf antarabangsa

“Ia juga bakal menjadi platform bagi teknologi perindustrian moden, mempercepatkan proses inovasi dan memberi daya saing kepada negeri Perak, khususnya bandaraya Ipoh dan Meru Raya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan