KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih Capital A Bhd bagi tempoh suku ketiga tahun kewangan berakhir pada 30 Sept, 2024, melonjak ketara dengan mencecah RM1.64 bilion berbanding kerugian bersih sebanyak RM102.75 juta, setahun lepas.
Perolehannya menokok sebanyak 17 peratus kepada RM4.93 bilion, berbanding RM4.23 bilion sebelum ini, didorong oleh pemulihan permintaan perjalanan udara di peringkat domestik dan antarabangsa.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat penerbangan itu berkata pada suku ketiga 2024, 85 peratus daripada perolehan kumpulan disumbangkan oleh segmen penerbangan manakala baki 15 peratus daripada logistik, digital dan perniagaan lain.
“Kumpulan melaporkan pendapatan positif sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM639.8 juta pada suku ketiga 2024 berbanding RM448.0 juta pada tahun sama 2023,” katanya.
Bagi tempoh selama sembilan bulan berakhir pada 30 Sept 2024, keuntungan bersihnya meningkat kepada RM1.09 bilion daripada RM600 juta manakala perolehan menokok kepada RM15.04 bilion daripada RM9.91 bilion sebelum ini.
Mengulas prospek, kumpulan itu menjangkakan tambang lebih tinggi serta faktor beban muatan melebihi 85 peratus, didorong oleh permintaan bermusim perayaan serta pemulihan 84 peratus daripada kapasiti pra-COVID.
“Bagi suku keempat, kumpulan akan terus mengembangkan kapasiti pesawat dengan pengenalan empat pesawat jenis A321neo di Malaysia dan sebuah di Thailand. Pengembangan ini akan melonjakkan kapasiti operasi.
“Selain itu, kami juga teruja untuk melancarkan 18 laluan penerbangan baharu, memacu peningkatan kapasiti dua digit di Malaysia dan Thailand selain sektor antarabangsa di Indonesia," katanya.
Capital A juga menyifatkan pengembangan itu sebagai tepat pada masanya bagi memanfaatkan permintaan perjalanan yang kukuh dan berterusan pada masa puncak di China dan India serta perayaan akhir tahun di peringkat global.
Perkembangan itu, katanya, meletakkan kumpulan dalam kedudukan untuk menjana peluang pasaran serta memacu trajektori pertumbuhannya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial