KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Seorang juruwang wanita maut ditikam di restoran tempatnya bekerja di sebuah pusat beli-belah di Cheras, di sini.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Aidil Bolhassan berkata setakat ini, tujuh suspek terdiri rakan sekerja mangsa sudah ditahan bagi membantu siasatan kejadian yang menimpa wanita warga China berusia 49 tahun itu, sekitar 3 hingga 4 petang semalam.
“Mangsa dipercayai ditikam beberapa kali pada bahagian badan dengan pisau dan pemeriksaan awal menemukan antara empat hingga lima kesan tikaman pada tubuhnya.
“Dia disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dengan ambulans,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aidil berkata pemeriksaan lanjut di tempat kejadian tidak menemukan senjata tajam yang digunakan untuk menikam mangsa.
“Buat masa ini kita menahan tujuh suspek yang terdiri daripada rakan sekerja mangsa untuk bantu siasatan. Kita juga masih menyiasat motif pembunuhan selain mengesan saksi-saksi yang dapat membantu siasatan polis,” katanya.
Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial