WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SERAMAI 5,600 ANGGOTA, PEGAWAI ATM DIATUR GERAK BANTU MANGSA BANJIR

01/12/2024 11:33 AM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia menambah keperluan aset dan anggota bagi membantu mangsa dalam menghadapi situasi banjir yang semakin buruk setakat dilaporkan hari ini.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata setakat ini, seramai 5,600 anggota dan pegawai diatur gerak bagi melaksanakan operasi membantu mangsa banjir dan ditempatkan ke kawasan yang dijangkakan berlaku banjir.

“Arahan untuk melaksanakan operasi membantu mangsa banjir ini dikeluarkan pada September lepas, jadi mereka semua telah bersedia dari segi kekuatan anggota dan aset, serta ditempatkan ke kawasan yang kita jangkakan akan berlaku banjir.

“Dalam keadaan sekarang ini mereka telah pun digerakkan ke kawasan yang terjejas dengan banjir. Sekiranya ada keperluan untuk penambahan anggota ataupun aset, perkara ini akan dibuat oleh pegawai pemerintah di lapangan bagi menilai keperluan untuk menambah anggota dan aset,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program larian dan riadah Navy Run 24 yang berlangsung di Dataran DBKL bersempena program KL Car Free Morning (KLCFM) di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain dan Ketua Staf Markas ATM Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad.

Program Navy Run 24 kali ini merupakan edisi kedua selepas penganjuran sulung tahun lepas dengan penyertaan lebih 6,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Mohammad berkata pihaknya juga akan membantu menyediakan keperluan aset bagi mengambil calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di pedalaman ke pusat peperiksaan, sekiranya kawasan mereka masih terjejas banjir semasa hari pertama peperiksaan itu esok.

“Kita akan membantu sama ada dari segi kenderaan untuk membawa calon  SPM dan sebagainya. Apa sahaja keperluan akan dibuat oleh ketua di negeri masing-masing untuk mengagihkan tugasan kepada agensi-agensi berkenaan dan sekiranya perkara tersebut di diperlukan daripada ATM, kita bersedia membantu,” katanya.

Sementara itu, mengulas tentang Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menempatkan Kolej Tentera Udara (KTU) di Kepala Batas, Kedah yang turut dilanda banjir, Mohammad berkata aktiviti latihan melibatkan pelatih akan dihentikan sementara sekiranya kawasan tersebut terjejas.

“Sekiranya terjejas, memang kita tidak boleh buat apa-apa, kita tunggu keadaan reda dan teruskan kembali selepas itu,” katanya.

Keadaan banjir di sembilan negeri di Semenanjung dilaporkan semakin buruk selepas jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 152,377 orang pagi ini, berbanding 146,611 malam tadi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan