WILAYAH - SARAWAK > BERITA

53 LAGI NEGARA DIBERI KEMUDAHAN AUTOGATE DI PINTU MASUK NEGARA

02/12/2024 12:29 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia telah memperluaskan kemudahan sistem pagar automatik (autogate) kepada 53 lagi negara baharu di pintu masuk negara yang memiliki kemudahan berkenaan setakat ini. 

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata ia meliputi 26 negara Kesatuan Eropah (EU), 17 negara Eropah di luar EU, enam negara Arab dan empat negara lain iaitu Kanada, Hong Kong, China dan Taiwan.

“Jumlah negara yang diberikan kemudahan autogate ini ialah 63 buah negara keseluruhannya dan akan meningkatkan bilangan pelawat asing dari negara-negara ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang ingin tahu langkah yang sedang diambil kerajaan untuk menambah baik perkhidmatan dan bilangan mesin pengimbasan pasport automatik di semua pintu masuk ke tanah air (termasuk lapangan terbang dan pelabuhan) bagi memudahkan urusan kemasukan pelancong asing.

Sebelum ini Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata inisiatif itu membolehkan pemeriksaan di pintu masuk lebih cepat dan dipermudahkan tanpa kompromi dalam elemen keselamatan, sekali gus untuk menangani kesesakan di pintu masuk negara.

Shamsul Anuar berkata setakat ini terdapat 1,568 unit mesin pengimbasan pasport automatik di semua pintu masuk Malaysia. 

Sementara itu beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga sedang menimbangkan penggunaan sistem baharu lebih efisien bagi melancarkan pemeriksaan imigresen, dengan memperkenalkan penggunaan kod tindak balas cepat (QR) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

Beliau berkata sistem itu dijangka dapat mempercepatkan proses pemeriksaan di kaunter imigresen dengan pengembara hanya perlu mengimbas kod QR yang mengandungi maklumat peribadi dan butiran perjalanan mereka.

“Penggunaan teknologi ini dijangka akan membantu meningkatkan keselamatan, mengurangkan kesesakan di pintu masuk negara terutama pada waktu puncak. Penggunaan kod QR akan diperluaskan di pintu masuk utama negara yang sesuai, termasuk lapangan terbang antarabangsa yang lain, dan pusat pemeriksaan di sempadan darat serta laut,” katanya.

Shamsul Anuar berkata dengan adanya sistem bersepadu itu ia bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan pengurusan imigresen, tetapi juga akan mengurangkan risiko rasuah dan penyalahgunaan kuasa di kaunter imigresen. 

Pada 18 Nov lepas, Saifuddin Nasution berkata kerajaan akan memperluas penggunaan kod QR bagi urusan imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Johor untuk perjalanan keluar masuk ke Singapura kepada semua jenis pengangkutan mulai tahun depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan