KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Kerajaan sedang mengkaji dan menyemak semula Akta Pembangunan Mineral 1994 dalam usaha menambah baik pengurusan unsur nadir bumi (REE) yang terdapat di seluruh negara.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata bagi tujuan itu sebuah pasukan petugas khas telah diwujudkan yang dipengerusikan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta turut dianggotai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI); Kementerian Ekonomi; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kewangan (MOF).
“Hal ini untuk membincangkan bagaimana kita nak membangunkan keseluruhan industri REE daripada peringkat huluan ke peringkat hiliran dan kalau kita lihat pada waktu ini kita juga berbincang dengan semua pihak supaya kita dapat memanfaatkannya sebaik mungkin.
“Isu REE ini kita nak pastikan kita dapat sampaikan manfaatnya kepada semua atau kepada negeri-negeri yang ada, jadi kita tiada masalah untuk bekerjasama dengan negeri-negeri malah kebanyakan kerajaan negeri terbuka dalam hal ini dan kita dapat kehadiran menteri-menteri besar dari negeri berkaitan untuk membincangkan perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 bagi kementerian itu peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.
Nik Nazmi berkata Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas Malaysia) juga menyatakan kesediaan untuk membangunkan laluan bagi memproses REE karbonat negara kerana sifatnya yang berbeza daripada REE yang diproses syarikat itu di Australia.
“Projek perintis yang kita ada di Kenering, Perak mereka diberi kebenaran khas dalam tempoh tertentu untuk mengeksport ke China buat sementara waktu, sementara belum ada tempat pemprosesan lain yang ada di negara kita.
“Tetapi kita dalam proses untuk memastikan ada kemudahan atau fasiliti untuk setiap peringkat bagi industri REE ini,” katanya.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan kerjasama syarikat perladangan sudah memulakan projek rintis untuk pembinaan foodbank atau bank makanan gajah bagi mengurangkan kesan konflik manusia dan hidupan liar.
Beliau berkata di Johor misalnya, NRES sudah mengenal pasti 21 lokasi food bank bagi mamalia itu dengan mengambil kira corak pergerakan atau penghijrahan haiwan berkenaan dan pendekatan pembinaan foodbank buat masa ini adalah secara sumbangan menerusi tanggungjawab sosial korporat syarikat perladangan.
“Projek rintis telah dimulakan di sebuah ladang berhampiran dengan Taman Negara Endau-Rompin dan sesi libat urus dengan ladang-ladang berhampiran juga telah dirancang dan untuk dilaksanakan,” katanya.
Dalam masa sama katanya, Perhilitan juga akan meneruskan usaha mitigasi meredakan konflik manusia-hidupan liar seperti langkah tangkap dan pindah serta pemasangan pagar elektrik.
Selain itu, Nik Nazmi berkata NRES akan membawa cadangan kepada MOF untuk meneruskan inisiatif Tabung Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar bagi membantu individu yang terkesan dengan konflik manusia-hidupan liar.
“Setakat November 2024, sebanyak 246 pemohon telah menerima bayaran menerusi tabung dengan jumlah keseluruhan RM978,000 melibatkan penduduk kampung, komuniti setempat dan Orang Asli yang kerugian akibat serangan hidupan liar… kita akan meminta program ini diteruskan kerana kita rasa wajar dan jumlahnya tidak terlalu besar,” katanya.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran keseluruhan perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM2,267,293,100 yang diperuntukkan kepada NRES dalam Belanjawan 2025 dengan lebih suara menyokong selepas dibahas 21 Ahli Parlimen.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial