KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Pindaan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) 1998 (Akta 589) adalah bertujuan membuat perubahan kepada komposisi keanggotaan suruhanjaya berkenaan termasuk pengasingan peranan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif serta memperluas fungsinya.
Rang Undang-Undang MCMC (Pindaan) 2024 itu, yang dibentangkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini, turut memaklumkan bacaan kali kedua pada sidang sama.
Menurut naskhah biru yang diedarkan di Parlimen, Subfasal 3(a) mencadangkan pindaan Seksyen 6 mengenai komposisi keanggotaan suruhanjaya memperuntukkan tiga anggota mewakili Kerajaan Persekutuan dengan seorang daripadanya adalah Ketua Setiausaha bagi kementerian yang dipertanggungjawabkan bagi komunikasi dan multimedia.
Subfasal 3(b) mencadangkan bilangan maksimum keanggotaan dinaikkan daripada lima kepada tujuh manakala subfasal 3(c) menyarankan anggota lain yang dilantik hendaklah memiliki pengalaman dan pengetahuan dalam bidang antaranya komunikasi dan multimedia, kewangan, kejuruteraan, perdagangan, perundangan, ekonomi serta pentadbiran awam dan Subfasal 3(d) melarang anggota dilantik daripada pekerja MCMC.
Fasal 4 bertujuan memasukkan Seksyen baharu 14(a) untuk mengadakan peruntukan bagi pemberhentian pelantikan Pengerusi iaitu jika tidak hadir bertugas, atau tidak ada di Malaysia, atau tidak dapat melaksanakan tugas jawatannya selama enam bulan berturut-turut tanpa kebenaran Menteri.
Fasal 5 pula bertujuan meminda Seksyen 16 untuk memperluas fungsi MCMC antaranya membangun dan mengawal selia piawaian atas infrastruktur, keselamatan, perlindungan keselamatan, mengaudit maklumat pemegang lesen serta aktiviti pemegang lesen.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial