WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS BUNUH PELAJAR: PEMANDU ATIVA TIDAK KELUAR KERETA SERTA MERTA SELEPAS PERLANGGARAN - SAKSI

02/12/2024 06:48 PM

IPOH, 2 Dis (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa pegawai kanan polis DSP Mohd Nazri Abdul Razak dilihat tidak serta merta turun selepas perlanggaran berlaku, namun hanya turun selang beberapa saat kemudian menuju ke tempat perlanggaran.

Azura Yusoff, 50, guru Sekolah Menengah Jelapang Jaya berkata ketika kejadian beliau dalam perjalanan untuk mengambil anaknya berusia 15 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Jati dan tiba di kawasan sekolah tersebut pada 11.35 pagi pada 15 Dis 2023.

Saksi pendakwaan ke-16 itu berkata kereta miliknya diparkir di kawasan luar sekolah berhampiran pintu pagar utama dan terdapat sebuah kereta Proton Saga merah berada di hadapan keretanya, sewaktu menunggu tersebut.

“Semasa saya berada dalam kereta saya mendengar bunyi dentuman kuat. Saya melihat sebuah kereta telah melanggar sebuah motosikal dan penunggang motosikal telah digilis pada bahagian antara perut dan dada.

“Penunggang motosikal tersebut telah digilis oleh tayar depan dan belakang kanan kereta tersebut,” katanya.

Azura berkata beliau terkejut apabila kereta jenis Perodua Ativa yang melanggar motosikal itu berada di hadapan kereta Proton Saga merah berkenaan, lalu beliau membunyikan hon dan melihat pemandu Ativa tidak keluar serta merta selepas kejadian perlanggaran berlaku.

“Selang beberapa saat kemudian baru saya lihat pemandu kereta keluar menuju ke tempat perlanggaran. Saya boleh cam pemandu tersebut iaitu seorang lelaki memakai baju t-shirt warna putih dan seluar paras lutut hitam.

“Saya tidak pasti apa yang beliau lakukan di tempat perlanggaran kerana saya tidak turun kereta,” katanya ketika membaca pernyataan saksi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet di sini hari ini.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-17 Muhammad Shafiq Shamsul Kamar, 26, yang merupakan pemilik motosikal itu memberitahu mahkamah bahawa adiknya menyerahkan motosikalnya kepada mangsa untuk dibaiki, kerana ia mempunyai masalah.

Beliau yang juga seorang juruteknik di sebuah syarikat elektrik berkata semasa perlanggaran tersebut, cukai jalan dan insurans motosikal tersebut telah tamat sekitar September 2023 dan belum diperbaharui.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Aiman Hakim Kamaruzzaman saksi itu memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pasti sama ada mangsa mempunyai kemahiran membaiki motosikal ataupun tidak.

Saksi pendakwaan ke-18 iaitu adik juruteknik itu berkata beliau menyerahkan motosikal berkenaan kepada mangsa bagi tujuan ubah suai bahagian luar motosikal, kerana Muhammad Zaharif pandai mengubah suai motosikal.

“Pada hari sebelum kejadian saya ada berjumpa Zaharif di rumahnya dan Zaharif ada bertanya kepada saya jika dia boleh menukar ekzos motosikal tersebut dan saya bersetuju,” katanya.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam remaja itu memaklumkan brek dan lampu belakang pada motosikal itu telah dibaiki, sebelum perlanggaran berlaku. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Afzainizam Abdul Aziz bersama Nasrul Hadi Abdul Ghani, V. Suloshani dan Low Qin manakala Mohd Nazri diwakili peguam M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.

Perbicaraan bersambung esok. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan