WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ABANG JOHARI DIPUJI SEBAGAI PEMPENGARUH EKONOMI BAHARU, KATA TOKOH KORPORAT ITALI

02/12/2024 09:26 PM

KUCHING, 2 Dis (Bernama) -- Komitmen kepimpinan Sarawak dalam peralihan tenaga meraih pujian daripada seorang tokoh korporat kanan Itali yang turut memuji wawasan unik Premiernya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam memacu pertumbuhan ekonomi mampan.

Naib Presiden Kanan Strategi Korporat dan Perniagaan NextChem S.p.A (NextChem), Giovanni Sale berkata Abang Johari memainkan peranan mengagumkan dalam memajukan pengeluaran hidrogen, sektor yang disifatkannya sebagai kunci kepada masa depan mampan.

"Premier Sarawak merupakan pempengaruh ekonomi baharu," kata Sale pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara NextChem dengan Acacia Power Sdn Bhd (Acacia Power), yang disaksikan Abang Johari di sini hari ini.

MoU itu menandakan kerjasama di antara Acacia Power, anak syarikat Permodalan Satok Bhd dengan NextChem yang menyasarkan untuk mengubah sumber asli Sarawak yang kaya kepada kuasa tenaga lestari.

Sale berkata NextChem ialah syarikat di bawah Maire Group yang mempunyai rangkaian akar industri sejak 1920 dan telah berjaya menghasilkan ammonia hijau di utara Itali.

Beliau berkata penglibatannya dalam membangunkan usaha tenaga Sarawak merupakan satu penghormatan besar kerana negeri ini menyerlah dalam peralihan tenaga global.

"Saya akan berada di sini bersama anda bukan sahaja untuk menandatangani kerjasama dengan Acacia Power tetapi juga untuk memindahkan teknologi pada pengetahuan sebegini kepada generasi baharu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Acacia Power Tan Sri Abdul Aziz Husain berkata kerjasama syarikat itu dengan NextChem akan mengubah landskap tenaga Sarawak dengan memanfaatkan tenaga boleh baharu (TBB) berasaskan biojisim.

“Objektif Acacia Power adalah jelas dan bercita-cita tinggi iaitu untuk berkhidmat sebagai pengeluar tenaga bebas (IPP) dan syarikat penjanaan kuasa yang membangun, memperoleh, memiliki serta mengendalikan kemudahan penjanaan kuasa dengan menggunakan sumber TBB,” katanya.

Di bawah kerjasama ini, beliau berkata projek TBB mereka akan memberi tumpuan kepada menukar sisa kayu daripada sumber hutan yang kaya di Sarawak kepada tenaga biojisim yang akan menjadi mesra alam dan memberi pembaharuan dari segi ekonomi.

“Projek tenaga biojisim boleh baharu kami adalah cerminan komitmen kami terhadap inovasi lestari dengan memanfaatkan sumber hutan Sarawak yang kaya secara bertanggungjawab,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan