WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BANJIR: USAHAWAN KHAIRUL AMING HARAP SUMBANGAN BERTERUSAN KE PUSAT PENGUMPULAN

03/12/2024 09:36 AM

Oleh Mohd Adli Shahar

KOTA BHARU, 3 Dis (Bernama) -- Usahawan dan pempengaruh terkenal Khairul Amin Kamarulzaman berharap pelbagai pihak akan terus meyumbang barangan keperluan mangsa banjir di pusat pengumpulan yang dioperasikannya untuk diagihkan di seluruh Kelantan. 

Beliau yang lebih dikenali Khairul Aming, 32,  berkata pada ketika ini pusat yang dioperasikannya di sebuah dewan majlis perkahwinan bersama 10 orang jawatankuasa pengurusan dan ratusan sukarelawan itu menghadapi kekurangan barangan bantuan berikutan bekalan yang terhad di Kota Bharu. 

“Sepanjang empat hari pusat ini beroperasi, kekangan terbesar ialah barang, sebab seperti sedia maklum bekalan di Kota Bharu itu sendiri pun tak cukup jadi kita perlu barang datang dari luar. 

“Untuk tiga hari lepas, bantuan sukar masuk melalui jalan darat sebab dilimpahi air namun hari ini alhamdulillah orang sudah boleh masuk dan kita baru terima barang-barang dari Johor, Selangor dan tempat-tempat lain. Kita harap petang ini, esok dan lusa lebih mudah untuk kita terima barang,” katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau berkata ketika ini pusat pengumpulan kendaliannya itu mengalu-alukan tajaan bantuan daripada mana-mana pihak tidak kira daripada jenama besar mahupun peniaga kecil.

“Dua hari lepas saja kita berjaya menghantar bantuan ke 17 destinasi termasuk pusat pemindahan sementara (PPS), madrasah, sekolah rumah-rumah merangkumi kira-kira 7,200 mangsa. 

“Hari ini pula kita bekerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia untuk menghantar bantuan menggunakan dua trak kepada 6,000 mangsa termasuk mereka yang terperangkap,” katanya. 

Khairul Amin berkata pihaknya juga sentiasa memeriksa kualiti barangan diterima untuk diagihkan, kerana risau terdapat bahan makanan yang telah mencapai tarikh luput atau barangan tidak boleh digunakan. 

“Kita mohon siapa yang mahu menderma supaya cuba sebaik mungkin bagi barang berkualiti yang kita sendiri akan pakai sebab memang betul mangsa banjir dalam darurat tapi cuba sebaik mungkin untuk hormat keadaan mereka,” katanya. 

Beliau berkata ketika ini bahagian komunikasi pusat pengumpulan itu akan membuat siaran langsung di media sosial TikTok untuk mendapatkan kemas kini di mana-mana kawasan yang perlu bantuan sebelum dihubungi untuk mendapatkan perincian. 

“Kita kemudian akan menghantar terus barangan keperluan kepada mereka. Bagi tempat yang tidak boleh masuk dengan kereta, kita akan bekerjasama dengan pemilik bot,” katanya. 

Beliau berkata pusat itu akan beroperasi sekurang-kurangnya hingga Rabu depan dan pihaknya akan menumpukan kepada bantuan pascabanjir selepas itu. 

Sementara itu, tinjauan Bernama ke pusat pengumpulan berkenaan mendapati sukarelawan yang terdiri daripada masyarakat tempatan dan pelajar universiti sedang sibuk menyediakan bekalan bantuan dalam bentuk pek individu bagi memudahkan urusan agihan. 

Barangan bantuan sebelum itu dibahagikan mengikut kategori seperti makanan kering, pakaian, lampin pakai buang, susu bayi dan ubat-ubatan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan