WILAYAH - TENGAH > BERITA

TIMSS: PENGLIBATAN MALAYSIA LIHAT KEBERKESANAN, KUALITI PENDIDIKAN MATEMATIK DAN SAINS

03/12/2024 11:45 AM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Penglibatan Malaysia dalam Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dapat melihat keberkesanan pembelajaran mata pelajaran Matematik dan Sains dalam kalangan murid tingkatan dua di negara ini selain memastikan kualiti pendidikan adalah setanding dengan negara lain.  

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan kajian penandaarasan antarabangsa TIMSS itu merupakan anjuran International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA) yang dilaksanakan empat tahun sekali. Pada pusingan TIMSS 2023, sebanyak 44 negara mengambil bahagian termasuk Singapura, Amerika Syarikat, England, Finland, Jepun, Sweden, New Zealand, Oman, Emiriah Arab Bersatu dan Korea Selatan.

"Malaysia setakat ini telah menyertai tujuh pusingan TIMSS sejak mengambil bahagian pada 1999, yang melibatkan murid tingkatan dua di sekolah menengah kebangsaan termasuk sekolah menengah kebangsaan agama, sekolah berasrama penuh, sekolah agama bantuan kerajaan, sekolah agama negeri, sekolah agama rakyat, Maktab Rendah Sains MARA dan sekolah swasta di bandar serta luar bandar. 

"Semenjak Malaysia menyertai TIMSS, pelbagai penambahbaikan dan inisiatif telah dilaksanakan secara langsung pada peringkat pemutus dasar dengan dapatan kajian menyediakan sumber maklumat hasil pembelajaran Matematik dan Sains, selain dapat melihat jika faktor persekitaran mempengaruhi pencapaian murid," menurut KPM menerusi kenyataan hari ini. 

Hasil kajian itu juga menjadi rujukan kepada pendidik, penggubal dasar, penyelidik dan pihak berkepentingan untuk merancang penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran dua mata pelajaran itu, serta memastikan guru sentiasa berusaha memantapkan penguasaan murid untuk meningkatkan minat dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM). 

Pentaksiran TIMSS juga membantu menambah baik kaedah dan pendekatan pengajaran oleh guru bagi memenuhi keupayaan murid dan  penyemakan semula kurikulum kebangsaan dengan mengambil kira kerangka pentaksiran itu supaya selaras dengan kualiti dan piawaian penandaarasan  antarabangsa. 

"Penyertaan Malaysia yang berterusan juga selari dengan hasrat Malaysia MADANI dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan usaha KPM menambah baik keberhasilan pembelajaran bagi membangunkan bakat tersedia masa hadapan," menurut KPM. 

Mengulas pelaksanaan TIMSS, KPM memaklumkan selain murid terlibat menjawab pentaksiran Matematik dan Sains serta soal selidik, guru mata pelajaran tersebut dan pentadbir sekolah juga perlu melengkapkan soal selidik diberikan.

Pada TIMSS 2023, domain kandungan pentaksiran Matematik meliputi nombor, algebra, geometri dan pengukuran, serta data dan kebarangkalian, manakala pentaksiran Sains meliputi Biologi, Kimia, Fizik, dan Sains Bumi. Domain kognitif pentaksiran Matematik dan Sains dalam TIMSS berfokus kepada mengetahui, mengaplikasi dan menaakul.

Pengumuman rasmi pencapaian Malaysia dalam TIMSS 2023 akan diumumkan Ketua Pengarah KPM Azman Adnan pada esok, dengan maklumat lanjut berkaitan akan dimuat naik di laman web kementerian di www.moe.gov.my pada 5 Dis ini. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan