WILAYAH - SARAWAK > BERITA

NSRC BERJAYA SEKAT RM19 JUTA WANG JENAYAH PENIPUAN DALAM TALIAN - PM

03/12/2024 04:13 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) berjaya menyekat RM19 juta wang jenayah penipuan dalam talian dan menyita sejumlah RM6 juta setakat ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia merupakan antara kejayaan NSRC yang melibatkan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta institusi kewangan dan industri telekomunikasi.

“Semenjak penubuhan NSRC sehingga Oktober 2024, sebanyak 140,474 panggilan telah diterima oleh NSRC yang merangkumi sebanyak 69,000 panggilan melibatkan laporan kes penipuan,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan mengkaji semula lesen pinjaman wang di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan bagaimana kerajaan boleh menoktahkan isu penipuan dan manipulasi dalam pentadbiran bank.

Anwar berkata kerugian akibat jenayah dalam talian sebanyak RM1.224 bilion direkodkan dari Januari hingga Oktober lepas, merangkumi penipuan dalam talian (online scam), jenayah telekomunikasi, e-kewangan, love scam, e-dagang, pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud.

Beliau berkata bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa penipuan, lebih 1.4 bilion panggilan meragukan dan 1.2 bilion khidmat pesanan ringkas (SMS) yang tidak diminta juga berjaya disekat oleh syarikat telekomunikasi.

“Kementerian Komunikasi menerusi MCMC berjaya menamatkan 118,184 talian dan menyekat akses kepada 9,474 laman palsu yang telah dikesan,” kata beliau.

Perdana Menteri turut menzahirkan kebimbangan dengan statistik menerusi portal Semak Mule yang menunjukkan sehingga 31 Okt lepas, sebanyak 181,628 nombor telefon, 222,092 nombor akaun bank dan 1,395 nama syarikat direkodkan melibatkan penipuan jenayah dalam talian.

“Portal ini banyak membantu kerana dengan laporan 32,066,000 carian telah dibuat dan 22,200,984 memberi jawapan positif, maknanya ada usaha memindahkan wang mereka kepada akaun mule tapi banyak terselamat kerana digerakkan, kerana kita gunakan portal Semak Mule menerusi https://semakmule.rmp.gov.my,” kata beliau.

Antara langkah lain yang turut diambil bagi menangani isu jenayah dalam talian termasuk pindaan kepada Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), selain menggubal Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian (ONSA), serta tindakan berterusan oleh NSRC.

Menjawab soalan asal Suhaizan berhubung punca kenaikan kes dan langkah pencegahan terhadap 361 kes disyaki terbabit dalam jenayah pinjaman wang tidak berlesen dalam tempoh sembilan hari bermula 4 Nov lepas, Perdana Menteri berkata jumlah berkenaan melibatkan kejayaan Op Vulture, iaitu operasi bersepadu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) yang berjalan serentak seluruh negara bermula 4 hingga 12 Nov.

“Oleh kerana penyelarasan di bawah JSJK menyebabkan tindakan segera diambil. Isunya memang serius kerana mengikut rekod ASEAN, seluruh jenayah scam itu bernilai US$64 bilion,” kata beliau.

Anwar berkata sebanyak tujuh premis syarikat pemberi pinjaman wang berlesen telah diserbu kerana melanggar Peraturan 15A(b) Peraturan-Peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan & Pelesenan) (Pindaan) 2024.

“Syarikat tersebut memegang kad ATM peminjam, ini yang menyulitkan. Seksyen disebut itu termasuk Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Seksyen 436 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Peraturan-Peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan & Pelesenan) (Pindaan) 2024,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan