WILAYAH - TENGAH > BERITA

BERITA-BERITA RINGKAS DEWAN NEGARA: 3 DIS

03/12/2024 06:53 PM

RM104.7 JUTA LAKSANA 14 PROJEK BEKALAN ELEKTRIK LUAR BANDAR DI SARAWAK

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Sejumlah RM104.7 juta diperuntukkan menerusi Rolling Plan Lima Tahun 2025, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi menjalankan 14 projek bekalan elektrik di kawasan luar bandar di Sarawak. 

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata ia melibatkan 12 projek sambungan dan dua projek baharu yang bernilai RM927 juta.

“Setakat ini liputan bekalan elektrik di Sarawak mencapai 98.4 peratus,” katanya menjawab soalan Senator Pele Peter Tinggom mengenai peruntukan bagi bekalan elektrik di luar bandar di Sarawak pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Untuk memastikan capaian 100 peratus bekalan elektrik di Sarawak, Rubiah berkata kementerian akan terus laksana penyambungan talian grid voltan sederhana dan rendah selain penggunaan kaedah solar hibrid dan fotovoltaik (PV) sebagai alternatif di kawasan ada pengehadan ketersambungan elektrik, sebagai langkah penyelesaian jangka pendek.

-- BERNAMA

 

RM43 JUTA DIAGIH KEPADA 385 RIBI SEPANJANG 2024 - NGA

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyalurkan bantuan sejumlah RM43 juta kepada 385 Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di seluruh negara sejak Januari hingga Disember tahun ini.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata jumlah berkenaan meningkat berbanding RM24.8 juta dengan 205 RIBI pada tahun lepas.

“Bantuan itu antaranya melibatkan 92 RIBI di Perak dengan nilai RM9.5 juta, 65 RIBI di Selangor dengan peruntukan RM7.15 juta dan 54 RIBI di Johor (RM6.6 juta) selain ada lagi di negeri lain,” katanya menjawab soalan Senator Abun Sui Anyit mengenai jumlah permohonan bantuan RIBI tahun ini.

Nga berkata keutamaan adalah kepada RIBI yang mempunyai keperluan mendesak seperti untuk pembaikian premis manakala setakat ini KPKT telah menerima 1,074 permohonan bantuan RIBI dengan anggaran RM174 juta, namun belum diproses kerana kekangan kewangan.

-- BERNAMA

 

KOMPAUN TERHADAP PENGIMPORT MAKANAN TURUN, BUKTI PATUH PIAWAIAN 

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kompaun terhadap kesalahan di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merekodkan penurunan pada 2023 iaitu 275 kes berbanding 322 pada 2022.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata kes tahan dan rampas produk pula mencatatkan penurunan daripada 70 kes pada 2022 kepada sembilan kes pada 2023.

“Pengurangan kes ini menunjukkan kadar pematuhan yang tinggi dalam kalangan pengimport terhadap piawaian yang ditetapkan dalam permit import mereka,” katanya menjawab soalan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengenai keberkesanan sistem pengawasan makanan import di Malaysia, pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini. 

-- BERNAMA

 

4,225 CALON LULUS PROGRAM PERALIHAN KE LESEN KELAS B PENUH - LOKE

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Sebanyak 4,225 pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 telah lulus dalam Program Khas Peralihan Lesen Kelas B, setakat November lepas.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata secara keseluruhan 5,477 orang telah menduduki program peralihan itu dengan 23 peratus daripadanya iaitu 1,251 calon terkandas dalam proses ujian berkenaan.

“Setakat 27 Nov, 177 institut memandu (IM) daripada 245 IM telah terlibat dalam menawarkan program peralihan ini,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman mengenai langkah kementerian untuk memastikan pengusaha pusat lesen memandu menerima dan memproses permohonan yang telah diluluskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi program itu.

Loke berkata kementerian dan JPJ sentiasa memantau pelaksanaan program itu dan tindakan akan diambil terhadap mana-mana IM yang telah memberikan komitmen dalam pelaksanaan program itu, namun gagal memproses permohonan orang awam.

-- BERNAMA

 

PROGRAM TAHFIZ AL-QURAN DIPERLUAS DI BEBERAPA NEGERI TAHUN DEPAN

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Modul pemulihan warga banduan di bawah program Tahfiz Al-Quran dalam penjara akan diperluas di beberapa negeri tahun depan setelah ia terbukti berjaya membawa perubahan yang positif terhadap sikap banduan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pihaknya dapat melihat perubahan yang berlaku pada diri banduan dan berharap program tahfiz berkenaan dapat menyumbang kepada negara serta meningkatkan kebolehan mereka untuk berdikari.

"Untuk 2025 kami (Kementerian Dalam Negeri) merancang untuk membuka program ini di beberapa lokasi seperti Penjara Marang (Terengganu), Seberang Perai (Pulau Pinang), Penjara Pusat Kota Kinabalu (Sabah), dan Pusat Koreksional Labuan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Hussin Ismail yang ingin tahu tahap kesediaan kementerian bagi memperbanyakkan program Tahfiz Al-Quran sebagai satu daripada modul pemulihan warga banduan di dalam penjara.

-- BERNAMA

 

4,206 USAHAWAN PKS TERIMA LATIHAN PROGRAM PKSLESTARI TINGKAT AMALAN ESG

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Sebanyak 4,206 usahawan menyertai program PKSlestari khusus dalam menggalakkan dan mempercepat penerapan  Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R.Ramanan berkata program itu merupakan program pembangunan kapasiti dan intervensi berstruktur dengan penyaluran geran yang dilaksanakan oleh Centre for Entrepreneur Development and Researh (CEDAR), anak syarikat kepada SME Bank yang dilaksanakan sejak 2023 hingga Nov 2024.

“Di bawah program ini, satu Panduan Pantas ESG untuk PMKS atau ESG Quick Guide for MSMEs telah dihasilkan sebagai rujukan asas kepada PMKS untuk memudah cara pelaksanaan amalan ESG dan membuat pelaporan.

“Perkhidmatan penilaian kendiri ESG turut disediakan untuk membantu PMKS menilai tahap penerapan ESG mereka. Melalui penilaian ini, PMKS dapat mengenal pasti jurang dalam pelaksanaan ESG, dan membuat penambahbaikan yang bersesuaian,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkenaan persediaan PMKS dalam ESG syarikat tempatan supaya dapat bersaing di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA

 

PENGAMBILAN PELAJAR ANTARABANGSA DI ASWARA BERMULA MAC - MOTAC 

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) akan melaksanakan proses pengambilan pelajar antarabangsa bagi kemasukan kohort pertama pada Mac depan menerusi penawaran beberapa program.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman web Parlimen memaklumkan ia melibatkan Ijazah Kedoktoran Seni Kreatif, Ijazah Sarjana Seni Kreatif dan program-program mobiliti (jangka pendek).

Menurut MOTAC, pengambilan pelajar itu dilaksanakan susulan terdapat permintaan kerjasama luar negara dan permohonan daripada pelajar antarabangsa untuk mengikuti program pengajian di ASWARA.

“Kementerian Dalam Negeri telah meluluskan permohonan pengambilan pelajar antarabangsa di ASWARA bagi tempoh setahun berkuat kuasa mulai 24 Sept 2024 hingga 23 Sept 2025,” menurut MOTAC bagi menjawab soalan Senator Datuk Seri Prof Emeritus Dr Awang Sariyan berhubung langkah ASWARA dalam pengambilan pelajar luar negara untuk memperkenal dan mempromosi kebudayaan serta warisan Malaysia di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan