WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TURKIYE PERKUKUH HUBUNGAN DENGAN ASIA TENGGARA MELALUI BUKU EMPAYAR UTHMANIYYAH

04/12/2024 11:53 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Turkiye mengukuhkan komitmennya terhadap naratif sejarah dan budaya Asia Tenggara dengan pelancaran buku Studies on the Relations Between the Ottoman Empire and Southeast Asia.

Buku yang diterbitkan di bawah naungan Presiden Turkiye untuk rakyat Turkiye di Luar Negara dan Komuniti Berkaitan (YTB), mendedahkan hubungan berabad-abad yang berakar umbi dalam perdagangan, agama dan diplomasi - mengubah pandangan terhadap hubungan rantau ini dengan Empayar Uthmaniyyah.

Duta Besar Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel memuji penerbitan buku itu sebagai satu pencapaian penting dalam memahami ikatan sejarah Turkiye dengan Asia Tenggara, dengan Malaysia memegang peranan yang unik dalam warisan bersama ini.

"Buku itu menawarkan penerokaan yang luar biasa mengenai hubungan sejarah, budaya dan politik antara Empayar Uthmaniyyah dan Asia Tenggara."

"Walaupun jarak fizikal antara Turkiye dan rantau ini, ikatan kerohanian yang mendalam sentiasa wujud. Hubungan berharga ini, yang diperkaya melalui nilai bersama, terus memberi inspirasi kepada kerjasama dan persahabatan."

Yuksel berkata demikian ketika berucap di hadapan para diplomat, ahli akademik dan golongan profesional yang hadir semasa pelancaran buku itu yang diadakan di Institut Pemikiran dan Peradaban Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pada Rabu.

Turut hadir Dekan ISTAC-IIUM Profesor Datuk Dr Abdelaziz Berghout dan Naib Presiden YTB Murat Kazancı.

Yuksel turut menekankan tumpuan strategik Turkiye terhadap Asia, dengan menyifatkannya sebagai kawasan yang penuh dengan potensi untuk menjalin kerjasama yang lebih mendalam.

Beliau merujuk kepada Inisiatif Baharu Asia yang dilancarkan pada 2019, sebagai bukti visi Turkiye untuk memperkukuh hubungan politik, ekonomi dan budaya dengan negara di Asia.

"Dalam hal ini, Malaysia memegang tempat yang sangat istimewa. Hubungan kami dengan Malaysia tidak bermula pada 1964 apabila kami menjalin hubungan diplomatik, mahupun pada 1957 apabila Turkiye secara rasmi mengiktiraf kemerdekaan Malaysia. Ia bermula berabad lamanya, pada abad ke-16."

"Sejak itu, hubungan antara Turkiye dan Malaysia menjadi kisah persahabatan dan persaudaraan, diperkukuh oleh kepercayaan yang sama, yang mewujudkan ikatan kasih sayang dan solidariti yang unik," katanya.

Yuksel seterusnya menyatakan bahawa Turkiye kekal komited untuk memajukan penglibatan sosiobudayanya dengan Malaysia dan rantau ini, menyifatkan kerjasama akademik sebagai asas kepada usaha ini.

“Perkongsian akademik, seperti projek ini, membolehkan kami menyemak semula dan mentafsir semula hubungan sejarah kami dengan perspektif baharu. Ia juga membolehkan kami membina rangka kerja yang mampan untuk kerjasama masa depan dalam pendidikan, penyelidikan dan budaya.

“Buku ini bukan sahaja memberi penerangan tentang masa lalu tetapi juga meletakkan asas untuk hubungan Turkiye dengan rantau ini untuk berkembang lebih kukuh dan lebih menyeluruh.

"Dengan meneliti sejarah bersama melalui perspektif akademik, ia menjadi sumber berharga untuk penyelidik, pembuat dasar, dan sesiapa sahaja yang berminat terhadap warisan bersama kita," tambahnya.

Sementara itu, Kazancı berkata hubungan sejarah dan budaya antara Turkiye dan Asia Tenggara, termasuk Malaysia, sangat penting kerana warisan kaya rantau ini dan keterbukaannya terhadap kepelbagaian.

Beliau menyifatkan buku itu sebagai hasil cemerlang daripada penyelidikan mendalam dan kerjasama dengan ahli akademik terkemuka dari Turkiye dan rantau ini.

“Adalah satu penghormatan untuk melihat kedudukan unik Turkiye dalam sejarah yang kaya di Asia Tenggara dan merasai rasa hubungan ini adalah saling berkaitan,” katanya sambil menambah buku itu mendedahkan aspek kurang dikenali mengenai pengaruh Empayar Uthmaniyah di negara seperti Malaysia, Indonesia, dan Thailand.

Kazancı berkata penerbitan itu, berdasarkan penyelidikan arkib yang meluas, berfungsi sebagai panduan dan rujukan untuk kajian masa depan, sekali gus meningkatkan penghargaan terhadap sejarah bersama rantau ini dengan Turkiye.

Buku itu menghimpunkan artikel menarik daripada sarjana di Turkiye dan Asia Tenggara, yang mengetengahkan pandangan mengenai dinamik politik, budaya dan kesusasteraan yang pernah menghubungkan Empayar Uthmaniyyah dengan rantau ini.

Ia juga mengkaji tokoh terkemuka dan rekod sejarah yang menghubungkan kedua-dua wilayah itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan