WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HAMIDIN BERI LALUAN KEPADA PEMIMPIN BAHARU LONJAK FAM KE TAHAP LEBIH TINGGI

04/12/2024 05:42 PM

PETALING JAYA, 4 Dis (Bernama) -- Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tan Sri Hamidin Mohd Amin mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya pada kongres pemilihan badan induk itu tahun depan bagi memberi peluang kepada individu lain mengambil alih kepimpinan.

Hamidin yang menduduki kerusi nombor satu FAM sejak Julai 2018 berkata tempoh lebih enam tahun yang dilalui sudah memadai.

“Saya tidak akan mempertahankan jawatan Presiden FAM bagi penggal akan datang (2025-2029) kerana ingin memberi peluang kepada ahli gabungan memilih presiden baharu.

“Saya pun dah enam tahun setengah, saya rasa cukup...beri ruang kepada individu lain memimpin persatuan yang besar ini ke mercu kejayaan yang lebih tinggi daripada sekarang,” katanya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali ke-13 di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini hari ini.

Hamidin yang juga Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjelaskan keputusan tersebut dibuat selepas berbincang bersama keluarga, sekali gus menafikan ia  berpunca daripada desakan peminat.

Hamidin berkata pengumuman awal mengenai perkara itu dibuat kerana mahu ahli gabungan FAM mempunyai masa yang cukup untuk membuat penilaian bagi memilih presiden baharu.

“Saya boleh bagi tahu lewat tapi saya perlu berlaku adil kepada FAM kerana yang penting FAM, struktur dan misinya mesti jelas, dan saya perlu berhati besar untuk umumkan awal supaya proses itu berjalan dengan baik, telus dan terbuka,” katanya.

Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengakui sudah mempunyai calon pilihan peribadi yang dirasakan layak untuk menerajui FAM, namun memilih untuk tidak mendedahkan identiti tindividu ersebut.

Hamidin turut menekankan pentingnya kesinambungan dalam kepimpinan baharu selepas beberapa usaha digerakkan serta pencapaian FAM yang telah dikecapi sebelum ini.

“Layak ke Piala Asia selepas lebih 40 tahun, ranking (pasukan kebangsaan) dari (tangga) ke-178 naik ke-132, bola sepak wanita meningkat, masuk tahun ketiga mengendalikan lesen pro (kejurulatihan) dan juga pembangunan infrastruktur seperti Pusat Latihan Kebangsaan dan Wisma FAM yang baharu.

“Jadi itu semua akan jadi kenangan dan sejarah, yang penting kesinambungan pemimpin baharu ini untuk membawa FAM ke hadapan. Saya tidak mustahak, mustahaknya FAM terus dan mengikut statut untuk memajukan FAM ini lagi,” katanya sambil memaklumkan beliau tetap akan membantu FAM jika diperlukan selepas ini.

Terdahulu, Hamidin mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya pada Kongres Pemilihan FAM bagi penggal 2025-2029 yang dijadual berlangsung pada 15 Feb 2025.

Pelantikan Hamidin sebagai Presiden FAM menggantikan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, diisytiharkan pada Kongres FAM ke-54.

Beliau kemudiannya mempertahankan jawatan itu untuk penggal 2021-2025 selepas menang tanpa bertanding pada Kongres FAM ke-57.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan