TAWAU, 4 Dis (Bernama) -- Seorang pelajar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu yang ditemukan mati pada 22 Mac lepas, bergaduh satu lawan satu dengan tertuduh ke-11 pada malam 21 Mac.
Saksi pendakwaan ke-16 yang juga rakan mangsa berkata ketika pergaduhan di bilik asrama 5 Belian itu, mangsa dan tertuduh ke-11 saling berbalas tumbukan dengan dikelilingi tertuduh pertama, keempat, kelima, keenam, kelapan serta kesembilan.
"Saya ketika itu berada di tingkat atas katil (dua tingkat) dan melihat mangsa dan tertuduh ke-11 bertumbuk. Tertuduh lain hanya diam," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif pada perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Tiga belas pelajar kolej itu berusia antara 16 hingga 19 tahun didakwa membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac lepas hingga 7.38 pagi 22 Mac lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Saksi itu juga berkata pada mulanya, tertuduh pertama mengajak Mohamad Nazmie Aizzat bergaduh satu lawan satu sebelum menyuruh mangsa memilih lawan untuk bertarung di tengah bilik sebelum tertuduh ke-11 menawarkan diri.
Menjawab soalan peguam Kamarudin Mohmad Chinki, saksi mengakui melihat mangsa menumbuk rusuk kiri tertuduh ke-11 sehingga dia jatuh kesakitan tetapi tidak mengetahui tertuduh itu lebam di rusuk kiri setelah menerima tumbukan tersebut.
Selain Nur Nisla, pendakwaan dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya Nulg Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri
Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin dan Chen Wen Jye manakala lima lagi diwakili peguam Mohamad Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang dan Kusni Ambotuwo.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial