WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KETUA JABATAN, BAHAGIAN BERPERANAN SOKONG PELAKSANAAN AKRAB - KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF BERNAMA

04/12/2024 07:54 PM

PORT DICKSON, 4 Dis (Bernama) -- Ketua jabatan dan bahagian memainkan peranan penting dalam menyokong pelaksanaan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) bagi mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni, produktif dalam sesebuah organisasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin berkata AKRAB juga berperanan memastikan kesejahteraan psikologi dan emosi petugas, seterusnya dapat meningkatkan kecekapan serta keberkesanan kerja dalam organisasi.

"Setiap pemimpin itu boleh membimbing, memberi tunjuk ajar, menegur dan pada masa yang sama melaksanakan arahan yang diberikan, sudah tentu ia perlukan satu perancangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Bicara Kepimpinan pada Kursus Pengurusan Perubahan: Semarak Bersama AKRAB melibatkan 31 ketua jabatan di Bernama dan AKRAB pertubuhan itu.

Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nasriah Darus, Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan merangkap Timbalan Pengerusi AKRAB Bernama Sharifah Zaini Syed Zain.

Nur-ul Afida berkata seiring dengan perkembangan teknologi masa kini, pemimpin perlu berinteraksi dan berkolaborasi dengan petugas yang memiliki pengetahuan dan kepakaran dalam teknologi baharu untuk dimanfaatkan dalam organisasi.

Berpengalaman 39 tahun dalam industri media di pertubuhan itu, Nur-ul Afida berkata seorang pemimpin perlu mendengar pandangan petugas lain dalam membuat keputusan bagi kebaikan organisasi.

"Pemimpin perlu ada empati kepada petugas seliaan masing-masing, pada masa yang sama memastikan tiada pihak mengambil kesempatan daripada nilai empati yang ada dalam diri kita,"katanya.

Dalam pada itu bagi memastikan tatakelola pengurusan yang baik di tempat kerja, penjagaan kesihatan mental dan fizikal juga penting dan perlu diutamakan.

"Sebagai pekerja juga, kita tidak boleh meletakkan segalanya di atas bahu pengurusan atau majikan, apabila kita memulakan hasrat untuk bekerja, kita sudah bersedia," katanya yang turut mahu setiap pekerja menyahut cabaran, tabah dan mempunyai ketahanan diri bagi meneruskan kecemerlangan organisasi.

Nur-ul Afida merangkap Pengerusi AKRAB Bernama berkata AKRAB merupakan platform menyokong pekerja dalam menangani pelbagai isu di tempat kerja dan berperanan menyebarkan nilai kepimpinan yang positif melalui kursus dijalankan secara berterusan.

Beliau berkata sejak ditubuhkan pada 2012, AKRAB Bernama pernah merangkul anugerah AKRAB Gemilang di peringkat kementerian seterusnya menjadi organisasi contoh dan rujukan kepada agensi awam lain, terutamanya dalam mengaktifkan serta melaksanakan aktiviti AKRAB secara berkesan.

“Apabila menyertai kursus AKRAB, baharu kita mengenali tujuan utamanya secara mendalam. Justeru, ketua bahagian dan ketua unit di Bernama sangat digalakkan menyertai aktiviti dianjurkan AKRAB.

“Selain itu, kita perlu buang tanggapan atau persepsi negatif tentang AKRAB, apabila ada petugas dirujuk kepada AKRAB, mula timbul stigma, petugas itu bermasalah, itu yang timbul salah faham,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan