ALOR GAJAH, 4 Dis (Bernama) -- Penganjuran tiga bengkel sempena Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa Zon Selatan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Alor Gajah di sini hari ini diharap dapat memberi manfaat kepada peserta dalam kalangan pelajar untuk lebih peka mengenai keselamatan siber.
Bengkel berkenaan ialah Mobile Journalism (MoJo), Semakan Fakta oleh Editor Bernama serta ceramah Klik Dengan Bijak oleh pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin berkata menerusi bengkel berkenaan, pelajar diberi peluang menggunakan Internet dengan lebih bijak.
"Dengan pembentangan Akta 588 (Akta Komunikasi dan Multimedia 1998) baru-baru ini, saya berharap lebih ramai termasuk golongan pelajar mengambil maklum serta cakna bahawa banyak perkara berkaitan keselamatan siber sepatutnya diberi perhatian serius kerana salah guna akan membawa nantijah yang tidak elok kepada mereka.
"Pada masa sama, kita membantu MCMC untuk menguar-uarkan peri pentingnya kesedaran dalam talian bagi mengekang jenayah dalam talian yang kian berleluasa," katanya kepada Bernama.
Terdahulu, Nur-ul Afida menyerahkan sumbangan satu set komputer berkeupayaan tinggi dan sebuah televisyen pintar daripada Kementerian Komunikasi kepada UiTM Kampus Alor Gajah yang diwakili Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Cawangan Melaka Dr Nadzri Mohd Sharif.
Hadir sama Ketua Pengarang Bernama yang juga Pengarah Projek HAWANA 2024 Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) agensi berita itu, Nasriah Darus.
Nur-ul Afida berkata penganjuran bengkel itu juga bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar sekali gus menyediakan mereka untuk menempuhi alam pekerjaan.
"Matlamatnya adalah untuk memastikan para pelajar komunikasi ini mendapat maklumat terkini tentang perkara yang berkaitan dengan industri semasa media," katanya.
Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa merangkumi enam zon di seluruh negara iaitu Sarawak, Sabah, Tengah, Utara, Selatan serta Timur yang akan menjadi lokasi penutup pada 12 Dis ini di Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Terengganu.
Program itu merupakan antara acara yang diadakan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 anjuran Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial