WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENGURANGAN CUKAI, SKIM BANTUAN UNTUK MAJIKAN BAYAR GAJI MINIMUM PEKERJA KONTRAK PERANTIS

05/12/2024 09:28 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Pengurangan cukai dan pemberian skim bantuan menerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) ditawarkan bagi mengurangkan implikasi kewangan dan kesan daya saing majikan yang membayar gaji minimum kepada pekerja kontrak perantisan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata bagi memastikan program perantisan dapat memacu transformasi tenaga kerja Malaysia, PSMB  menyediakan Skim Latihan Industri (ITS) yang boleh dimanfaatkan majikan melalui penggunaan levi syarikat untuk membantu meringankan beban kewangan mereka.

Beliau berkata bantuan itu diberikan kepada majikan sekiranya mereka ingin mengambil pelajar dari industri, kolej atau institusi latihan bagi tujuan latihan industri di syarikat mereka dan bantuan diberikan berbentuk elaun bulanan kepada pelatih sehingga 12 bulan sepanjang tempoh latihan industri.

“Setakat 30 Nov 2024, PSMB telah meluluskan sebanyak 10,766 bilangan tempat latihan bagi skim ITS dengan bantuan kewangan sebanyak RM20.4 juta.

“Dalam beberapa kes, kerajaan memberikan pengurangan cukai atau insentif lain kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mampu mengekalkan pekerja walaupun dengan gaji minimum yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2024 bagi meminda Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata hasil kajian dan pelbagai sesi libat urus, cadangan peluasan pemberian gaji minimum kepada pekerja kontrak perantisan mendapat sokongan majikan dan pemain industri.

Beliau berkata Majlis Penerangan Gaji Negara (MPGN) telah menjalankan kajian liputan gaji minimum terhadap perantis selama lapan bulan. Kajian tersebut melibatkan pengedaran borang soal selidik kepada 908 responden serta sesi libat urus dengan 122 pemegang taruh, termasuk persatuan majikan, kesatuan sekerja, ahli akademik, dan orang awam dari pelbagai sektor.

“Selain itu, 26 sesi libat urus dilaksanakan bagi kajian semula Perintah Gaji Minimum (PGM) dan pemakaian gaji minimum terhadap perantis dengan 1,109 penyertaan melibatkan persatuan majikan, wakil industri, majikan bersaiz besar dan PMKS, kesatuan pekerja dan wakil pekerja serta pakar dari International Labour Organisation (ILO).

“Kajian ini telah dibincangkan dan dibahaskan dalam MPGN yang turut melibatkan wakil majikan, pekerja kerajaan yang bersetuju untuk peluasan gaji minimum juga terpakai kepada perantis selaras dengan dapatan kajian yang dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu, Abdul Rahman ketika membentangkan bacaan kali kedua RUU itu menjelaskan pindaan Seksyen 2 Akta 732 untuk meluaskan skop dan takrif 'kontrak perkhidmatan' selaras dengan takrif sama dalam Akta Kerja 1955 (Akta 265), Ordinan Buruh Sabah (Bab 67) dan Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76), membolehkan pekerja kontrak perantisan menerima bayaran gaji minimum yang sama seperti pekerja tetap.

Dewan Rakyat kemudiannya meluluskan RUU itu dengan lebih suara yang menyokong selepas dibahaskan oleh sembilan Ahli Parlimen.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan