WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MELAKA TERIMA RM6 JUTA LAKSANA PROJEK ATASI ISU BANJIR DI KAWASAN PARLIMEN MASJID TANAH

12/12/2024 06:43 PM

ALOR GAJAH, 12 Dis (Bernama) -- Melaka menerima peruntukan tambahan berjumlah RM6 juta daripada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi menyelesaikan isu banjir dalam kawasan Parlimen Masjid Tanah.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata peruntukan itu akan digunakan bagi membangunkan projek mengatasi bencana yang kerap berlaku di beberapa tempat dalam kawasan parlimen itu yang dikategorikan sebagai zon merah banjir bagi negeri berkenaan.

"Dalam lawatan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Datuk Seri Fadillah Yusof) ke Masjid Tanah baru-baru ini, saya telah memohon supaya melihat permasalahan banjir di Melaka terutama dalam kawasan Parlimen Masjid Tanah.

"Kita prihatin terhadap permasalahan yang berlaku dan menimpa penduduk-penduduk Masjid Tanah terutamanya dalam kawasan Masjid Tanah Ria yang empat kali setahun menghadapi bencana banjir ini," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Sesi Town Hall Hotspot Banjir di Masjid Tanah Bersama Ketua Menteri Melaka yang turut dihadiri Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Ab Rauf berkata selain kawasan Masjid Tanah Ria, "hotspot" banjir lain yang turut dikenali pasti ialah Kampung Sungai Siput dan Kampung Sungai Jernih.

Beliau berkata sesi dialog awam itu dilaksanakan bagi mendengar maklum balas penduduk yang terkesan, sekali gus merangka jalan penyelesaian yang relevan dan efektif berdasarkan peruntukan khas untuk mengurangkan kesan bencana alam itu kepada penduduk pada masa hadapan.

Sementara itu beliau berkata sesi turun padang akan dilaksanakan di parlimen lain secara berperingkat bagi mengenal pasti punca dan mencari jalan penyelesaian mengatasi banjir di kawasan terlibat.

Ab Rauf berkata perincian projek mengatasi banjir yang akan dibangunkan menerusi peruntukan khas bagi Parlimen Masjid Tanah itu dijangka dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu lagi.

Beliau berkata pelaksanaan projek itu melibatkan pelbagai agensi dan Jabatan Pengairan dan Saliran akan bertindak sebagai penyelaras projek, dan ia dibangunkan mengikut keperluan serta kesesuaian projek bagi setiap masalah banjir yang dihadapi.

"Pembangunan projek itu melibatkan lima Dewan Undangan Negeri (DUN) di parlimen berkenaan iaitu Kuala Linggi, Taboh Naning, Tanjung Bidara, Lendu dan Ayer Limau.

"Projek jangka masa panjang bagi bencana ini ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Baru bernilai hampir RM500 juta dan kerajaan negeri akan memohon peruntukan daripada PETRA untuk dinilai semula projek itu," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan