WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KOLABORASI BERNAMA, UNISZA TINGKATKAN KUALITI PENYAMPAIAN MAKLUMAT

12/12/2024 06:44 PM

KUALA NERUS, 12 Dis (Bernama) -- Kolaborasi antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) Bersama Siswa mampu meningkatkan kualiti penyampaian maklumat kepada masyarakat, terutama penuntut universiti.

Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Fadzli Adam berkata sebagai sebuah organisasi berita yang penting dan utama di Malaysia, Bernama sentiasa menjadi contoh terbaik dalam mengekalkan integriti, ketepatan dan profesionalisme kewartawanan.

Beliau berkata bidang kewartawanan kini berdepan pelbagai cabaran susulan perkembangan teknologi komunikasi yang mengubah landskap komunikasi global.

"Penularan berita palsu menjadi cabaran utama, mencemarkan reputasi wartawan dan organisasi berita terutama di media sosial yang memudahkan penyebaran maklumat tidak sahih serta sensasi.

"Namun di bawah kepimpinan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil banyak usaha yang dinamik dan proaktif dilakukan bagi memperkukuh landskap media dan komunikasi termasuk melalui program Jelajah HAWANA," katanya ketika berucap pada program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa di UniSZA hari ini.

Program tersebut dirasmikan oleh Fahmi, dan antara yang hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama yang juga Pengarah Projek HAWANA 2024, Arul Rajoo Durar Raj.

Mengulas lanjut Fadzli berkata bagi memastikan kualiti dan etika penyampaian berita dipelihara, pihak UniSZA turut berganding bahu bersama pihak kementerian dan industri seperti Bernama untuk memberi pendedahan kepada para pelajar dalam usaha melahirkan masyarakat yang peka dengan etika kewartawanan yang baik.

Menurut beliau UniSZA telah membangunkan pelbagai kursus termasuk Mass Media Writing, Public Relations and Media Writing, Public Relations Law and Media Ethics dan Asas Kewartawanan di Fakulti Bahasa dan Komunikasi yang menekankan aspek pelaporan berita secara beretika.

"Pelbagai aktiviti dan projek kolaborasi antara universiti, fakulti dan industri telah dirancang bersama pengamal media profesional. Di sini pelajar dilatih dan didedahkan dengan teknik penghasilan laporan berita dengan tepat dalam tempoh masa tertentu," katanya.

Dalam pada itu UniSZA turut  melahirkan penghargaan kepada Bernama kerana memilih UniSZA sebagai lokasi terakhir Jelajah HAWANA Siswa 2024 hari ini.

Pada program itu Fahmi turut menyampaikan set komputer berkeupayaan tinggi dan set televisyen pintar masing-masing kepada UniSZA, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Selain itu seramai 82 pelajar UniSZA yang terjejas banjir  baru-baru ini turut menerima bantuan komputer riba untuk pembelajaran.
        -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan