WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TIDAK PERLU LAGI BERAYA DI PERANTAUAN, MAHASISWA GEMBIRA KADAR FLYSISWA DINAIKKAN

12/12/2024 10:09 PM

SHAH ALAM, 12 Dis (Bernama) -- Keputusan kerajaan meningkatkan kadar bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan menerusi FLYSiswa kepada RM400 seorang memberi kelegaan kepada mahasiswa khususnya bagi mereka yang tidak mampu menanggung harga tiket yang tinggi.

Beberapa pelajar yang ditemui mengakui kadar baharu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memberi sinar kerana ada ketikanya terpaksa 'menahan diri' tidak pulang ke kampung halaman pada musim perayaan akibat kos penerbangan yang membebankan.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Amir Nur Rashid Lizam berkata kenaikan kadar bantuan subsidi itu jika ditambah dengan inisiatif serupa yang disediakan kerajaan negeri sudah pasti mampu meringankan beban kewangan pelajar berkenaan.

"Kenaikan ini amat kami hargai memandangkan harga tiket biasanya agak tinggi terutama ketika musim perayaan, dan jika boleh menampung perjalanan sehala pun sudah memadai, itu pun dah banyak," kata pelajar berusia 23 tahun dari Sarawak itu ketika ditemui Bernama selepas Karnival FLYsiswa di sini hari ini.

Amir Nur Rashid berkata sebagai pemimpin pelajar beliau banyak terlibat dalam menguruskan keluhan mahasiswa yang tidak dapat pulang ke kampung halaman semasa musim perayaan dan pengumuman Perdana Menteri mengenai kadar baharu itu adalah sesuatu amat bermakna dan perlu dihargai.

Bagi pelajar Fakulti Undang-Undang UiTM Zul Fadzli Wan Barhama Abdullah, 22, inisiatif berkenaan bukan sahaja memanfaatkan dirinya malah dapat membantu kedudukan kewangan keluarga dalam menjimatkan kos sampingan yang perlu ditanggung.

Pelajar dari Labuan itu berkata dia perlu berbelanja sekitar RM1,000 bagi perjalanan pergi dan balik dan pernah tidak pulang ke kampung menyambut Aidilfitri kerana tidak mampu menampung harga tiket penerbangan yang mahal ketika itu.

"Saya tidak mahu menyusahkan ibu saya yang juga ibu tunggal, malah saya sendiri bergantung kepada biasiswa untuk menampung pengajian, namun inisiatif FLYsiswa ini sangat membantu mengurangkan perbelanjaan pengangkutan ketika pulang semasa cuti semester yang panjang," katanya.

Pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Nurul Hikmah Rumaini, 22, pula mengakui dia terpaksa bekerja secara sambilan untuk menabung bagi menampung tiket penerbangan pulang ke Sabah.

"Beraya di perantauan ini bukan satu kegembiraan buat kami kerana pastinya kami juga ingin bersama dengan keluarga, jadi inisiatif ini sangat-sangat membantu untuk membeli tiket penerbangan," katanya yang berasal dari Beaufort.

Terdahulu, Perdana Menteri semasa merasmikan karnival itu mengumumkan kadar inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan, FLYsiswa dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 seorang bermula 1 Jan depan.

Anwar berkata langkah itu merupakan antara ikhtiar kerajaan dalam meringankan beban mahasiswa dari Sabah, Sarawak dan Labuan yang berdepan isu harga tiket penerbangan yang agak tinggi apabila ingin pulang ke negeri masing-masing.

-- BERNAMA
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan