WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MRA SALUR BANTUAN BANJIR BERNILAI LEBIH RM429,000

13/12/2024 11:28 PM

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama)-- Malaysian Relief Agency (MRA) telah menyalurkan bantuan bernilai lebih RM429,000 ke 41 lokasi terjejas banjir di tujuh negeri iaitu Pahang, Kedah, Kelantan, Terengganu, Johor, Melaka dan Perlis.

MRA dalam kenyataan hari ini memaklumkan sumbangan itu merangkumi bantuan makanan, bukan makanan dan perkhidmatan.

“Bantuan makanan yang diagihkan termasuk 2,795 bungkusan makanan asas, 1,700 bungkusan makanan bermasak, 5,935 bungkusan makanan sedia dimakan serta 100 bungkusan bahan makanan lain.

"Bagi bantuan bukan makanan pula, MRA telah menyumbangkan 2,200 helai pakaian, 40 bungkusan barangan bayi, 2,700 bungkusan kebersihan serta 900 bungkusan barangan lain," katanya. 

Kenyataan itu memaklumkan MRA turut menyediakan perkhidmatan pembersihan di perpustakaan awam, surau dan 72 rumah membabitkan 737 individu selain perkhidmatan 131 klinik bergerak untuk kanak-kanak, dewasa serta warga emas.

MRA turut menzahirkan penghargaan kepada individu, korporat dan pelbagai pihak yang menyumbang kepada Tabung Bantuan Banjir MRA2024/2025 serta menyeru rakyat Malaysia untuk terus menyokong usaha bagi meringankan beban mangsa melalui sumbangan dan solidariti.

Sumbangan boleh disalur melalui akaun bank RHB bernombor 2642 4500 0072 70 atas nama Malaysian Relief Agency Foundation atau hubungi ibu pejabat MRA di talian 03-9174 4672 untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan