WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MENGGALI FOSIL DINOSAUR: KISAH PENGEMBARAAN DR RUMMY, AHLI PALEONTOLOGI DARI MALAYSIA

11/01/2025 11:12 AM

Oleh Wong Chun Wai

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Saintis fosil Malaysia Dr Paul Rummy meneroka gurun di China dan kawasan berdekatan Asia Tengah untuk mencari tulang dinosaur, buaya, ikan, burung dan hidupan zaman purba lain yang wujud berjuta-juta tahun dahulu.

Walaupun Dr Henry Walton “Indiana" Jones ialah watak rekaan dalam filem Hollywood, penyelidik bersekutu dilahirkan di Kuantan, Pahang ini ialah individu sebenar yang tidak kisah mengotorkan tangannya, berjemur di bawah terik mentari demi mencari makhluk yang telah dilupakan ini.

Dr Rummy bertugas di Institut Paleontologi Vertebrata dan Paleoantropologi, Akademi Sains China, khusus bagi kajian haiwan vertebrata purba dan manusia zaman lampau.

Sarjana yang fasih berbahasa Cina ini juga ialah siswazah dari Universiti Tsinghua, iaitu universiti terkemuka di China.

“Tugas saya melibatkan pengumpulan bahan dari tapak penggalian dan mencantumkan ia semula untuk menentukan asal-usul haiwan terbabit.

“Saya menganalisis ciri-ciri morfologi tinggalan ini untuk mengenal pasti sama ada haiwan yang sudah pupus ini mempunyai kaitan dengan spesies yang diketahui atau mewakili sesuatu yang benar-benar baharu dalam sains.

“Proses ini memerlukan pemahaman mendalam terhadap subjek dan banyak masa serta kesabaran – kadang-kadang, jawapannya muncul serta-merta, seperti detik ‘Eureka!’ (perkataan Greek bermaksud ‘saya telah menemukan ia’),” katanya dalam temu bual.

Dr Rummy, 39, kini terlibat dalam beberapa kajian, dengan memberi tumpuan khusus tentang buaya purba.

“Buaya telah wujud berjuta tahun dahulu, sudah lama sebelum zaman ini, dan mengkaji sejarah haiwan itu memberi pandangan menarik terhadap evolusi buaya berkenaan. Saya juga terlibat dalam penyelidikan mengenai fosil surihan dan fauna dinosaur, malah turut menyentuh topik etika paleontologi.

“Terdapat banyak kerja keras dan teliti yang perlu dilakukan. Sudah pasti ia tidak glamor seperti dalam filem. Dalam tahun-tahun kebelakangan ini saya terlibat dengan kerja-kerja terhadap fosil badan organisma dan fosil surihan, seperti fosil najis juga.

“Jejak tapak kaki dan bukti lain hidupan purba terpelihara di bawah permukaan tanah. Jejak-jejak ini yang terkurung dalam masa, menyimpan maklumat luar biasa, tetapi untuk merungkai rahsia itu memerlukan kepakaran dan ketekunan,” katanya.

Selain kerja penyelidikan, Dr Rummy juga perlu bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam pelbagai projek, daripada aktiviti penggalian kepada pameran, sains popular dan tugas berkaitan muzium.

Beliau berkata tanggungjawabnya seimbang antara tugas di lapangan dengan penyelidikan di pejabat, dan jadual kerjanya tidak tetap.

“Ia bukanlah pekerjaan biasa dari 8 pagi hingga 5 petang. Sebaliknya, anda bekerja sepanjang masa, selalunya tujuh hari seminggu, berpandukan tugas, soalan saintifik dan keinginan untuk mencari jawapan," katanya.

Jadi, bagaimana perjalanan beliau bermula?

“Saya tidak pernah tahu apa itu paleontologi sehinggalah subjek itu menemui saya. Saya diberi peluang untuk beralih daripada memulihara haiwan terancam kepada mengkaji makhluk yang pupus sepenuhnya berjuta tahun dahulu.

“Sepanjang zaman kanak-kanak saya, makhluk raksasa purba dilihat hanya wujud di pusat beli-belah, taman tema atau dalam filem. Apabila saya mengikuti program PhD (doktor falsafah), barulah saya sedar yang dunia paleo jauh lebih menarik dan mendalam daripada apa yang pernah saya bayangkan. Ia berkisar tentang zaman purbakala – sesuatu yang menjangkau lebih 100 juta tahun, merangkumi semua haiwan dan tumbuhan yang pernah hidup di muka bumi,” katanya.

Dr Rummy berkata beliau memohon program Sarjana di Universiti Tsinghua pada 2014 kerana ia menawarkan kursus dalam bahasa Inggeris dengan biasiswa penuh.

“Waktu saya di Tsinghua sangat luar biasa – persekitarannya sangat baik, dan semua yang saya perlukan untuk berjaya dalam pengajian tersedia dengan mudah.

“Motivasi dan sokongan yang saya dapat di sana memberi inspirasi untuk melanjutkan PhD di Universiti Akademi Sains China. Kedua-dua universiti ini antara yang terbaik di dunia dan saya berasa amat bertuah mendapat peluang melanjutkan pelajaran di institusi berprestij ini,” katanya.

Mengenai pengalaman yang tidak dapat dilupakan, Dr Rummy berkongsi tentang pengembaraannya di Harbin, China pada suatu petang musim luruh.

“Kami menghabiskan sepanjang hari mencari, namun tidak berjaya, dan apabila kami hampir ingin menamatkan pencarian, kami menjumpai rangka yang lengkap berusia 90 juta tahun. Ia benar-benar detik yang pasti diingati,” katanya.

Dr Rummy berkata rakan setugasnya menjumpai najis kucing purba bertaring pedang berumur dua juta tahun di Longgupo, Wushan di China baru-baru ini.

“Ia dikenali sebagai koprolit, dan kajian mengenai najis yang menjadi fosil sering diabaikan dalam paleontologi. Bagaimanapun, koprolit berfungsi sebagai kapsul masa, memberikan maklumat yang tidak dapat diperoleh daripada tulang semata-mata.

“Ia dapat mendedahkan informasi pemakanan organisma terbabit, serta petunjuk penting untuk kajian paleoklimatik (kajian perubahan cuaca yang berlaku sepanjang kewujudan bumi) dan alam sekitar paleo. Selain itu, ia menyimpan data mengenai tafonomi (kajian tentang proses kematian organisma sehingga menjadi fosil) dan sebagainya,” katanya. 

Beliau turut berkongsi mengenai kes yang jarang ditemukan, iaitu ketika mencari tinggalan dinosaur di kawasan yang terletak di bandar Yanji, Wilayah Jilin di timur laut China.

“Kerajaan tempatan mengambil serius penemuan ini dan melakukan usaha yang besar untuk memelihara tapak itu, yang pada asalnya ialah projek pembinaan perumahan,” katanya.

Beliau memberikan penghargaan kepada penyelianya Prof Xu Xing, yang juga pengarah institutnya, atas peluang dan bimbingan yang diberikan kepada beliau.

Dr Rummy yang mempelajari bahasa Mandarin ketika bersekolah di Malaysia, mempunyai anak perempuan berusia lima tahun yang mewarisi rasa ingin tahu sama seperti bapanya, dan “memiliki ular sebagai haiwan peliharaan”.

“Beijing benar-benar menjadi rumah kami, dan komuniti ekspatriat Malaysia di sini sudah menjadi seperti keluarga kami. Pada musim perayaan, kami berkumpul menikmati nasi lemak, menjadikan ia tradisi istimewa untuk terus kekal dengan warisan budaya kami,” katanya.

-- BERNAMA 

 

** Datuk Seri Wong Chun Wai ialah wartawan dengan pengalaman lebih 40 tahun. Beliau kini merupakan Pengerusi Bernama, agensi berita nasional.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan