WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DESAKAN UNTUK EV DOMESTIK ANGKAT SEKTOR AUTOMOTIF MALAYSIA 2025 KE TAHAP LEBIH TINGGI

18/12/2025 09:25 AM

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) – Industri automotif Malaysia melalui satu peralihan yang hebat pada tahun ini, berkembang daripada industri pemasang dan pasaran pengguna kenderaan kepada hab automotif bersepadu yang bersedia untuk kenderaan elektrik dan dipacu oleh rantaian bekalan.

Ini menyediakan pentas untuk Malaysia memainkan peranan yang lebih besar dalam pasaran automotif serantau, berpotensi dijadikan pangkalan eksport dan tidak lagi terhad kepada pasaran domestik yang agak kecil.

Ini jelas menandakan kemajuan yang ketara dalam sektor automotif selepas lebih 40 tahun sejak Proton Saga dilancarkan pada 1985, yang merupakan penglibatan Malaysia ke dalam industri pembuatan automotif yang mencabar.

Kesemuanya ini dicapai hasil desakan yang berterusan untuk industri automotif tempatan berusaha ke arah penyetempatan, ditambah dengan pembuatan EV dan rangka kerja dasar yang menyokong oleh kerajaan.

Kelahiran EV tempatan pertama Malaysia — Perodua QV-E — menandakan titik perubahan penting dalam landskap automotif tempatan kerana ia mengubah negara daripada sekadar penerima EV kepada pencipta EV, hasil daripada pelancaran Proton e.MAS 5 yang ditawarkan pada harga berdaya saing.

Dalam proses itu, ia turut mengubah industri ini menjadi pasaran yang lebih kompetitif dengan antara lain, menawarkan produk yang mampu milik.

Secara keseluruhan, industri ini berkembang pada trajektori yang bermakna, disokong oleh beberapa faktor utama iaitu promosi jualan yang agresif, pelancaran model baharu dan potensi permintaan yang tinggi sebelum perubahan duti eksais pada 2026.

 

Jualan lebih perlahan 

 

Menurut data Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi separuh pertama tahun ini (1H 2025) mencecah 373,636 unit, susut 4.6 peratus atau 17,815 unit berbanding 391,451 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Persatuan itu berkata penurunan berkenaan sebahagian besarnya telah dijangka, memandangkan kesan asas yang tinggi selepas TIV memecah rekod paras tertinggi 816,747 unit pada 2024.

Walaupun dengan prestasi yang agak lemah, MAA mengekalkan unjuran penuh TIV tahunannya sebanyak 780,000 unit untuk 2025, yang menunjukkan penurunan 4.5 peratus tahun ke tahun (y-o-y).

Dalam hal ini, rasionalisasi subsidi diesel yang bermula pada Jun 2024 menyaksikan permintaan terhadap kenderaan komersial menurun secara ketara sebanyak 21 peratus berbanding enam bulan pertama 2024.

Jumlah jualan kenderaan komersial ialah 26,552 unit pada separuh pertama 2025 berbanding 33,595 unit yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam data terkininya, MAA mengumumkan TIV melonjak 30 peratus kepada 75,992 unit pada Oktober 2025 berbanding 58,490 unit pada September — merangkumi 70,321 kenderaan penumpang dan 5,671 kenderaan komersial.

TIV yang lebih tinggi itu dipacu oleh lonjakan pembelian kenderaan elektrik bateri (BEV) yang diimport sepenuhnya (CBU) susulan pengumuman Belanjawan 2026 mengenai tamatnya pengecualian cukai untuk kenderaan berkenaan menjelang akhir tahun ini, selain disokong oleh kempen promosi secara agresif hujung tahun oleh syarikat-syarikat automotif.

Bagaimanapun, TIV setakat tahun ini (YTD) susut sebanyak 2.0 peratus kepada 655,328 unit daripada 667,568 unit dalam tempoh yang sama pada 2024.

Bagi pengeluaran pula, sebanyak 617,355 unit dihasilkan dalam tempoh 10 bulan pertama 2025 — merangkumi 582,435 kenderaan penumpang dan 34,920 kenderaan komersial — berbanding 664,923 unit dalam tempoh yang sama setahun sebelumnya.

Dalam hal ini, langkah kerajaan memperkenalkan mekanisme subsidi petrol bersasar, yang memperuntukkan kuota bahan api sebanyak 300 liter sebulan kepada rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu sah, dijangka menyokong jualan kenderaan baharu pada suku akhir tahun ini.

Di antara model-model baharu yang dilancarkan pada tahun ini ialah Proton e.MAS 5, iCAUR V23, MG S5 EV, Zeekr 7X, Smart #5, Chery Tiggo Cross, Jetour T2, Jaecoo J6/J8, serta versi yang dipertingkatkan untuk Proton Saga, Proton X50 dan Honda Civic.

Antara model terlaris setakat tahun ini ialah Perodua Bezza, Axia dan Myvi, manakala Proton dan Toyota turut mencatatkan pendaftaran yang ketara, dengan Proton X50 juga menunjukkan prestasi yang baik.

 

Dorongan untuk elektrifikasi

 

Tahun ini juga merupakan tahun yang penting untuk pasaran kenderaan elektrik (EV) Malaysia yang beralih ke segmen arus perdana, sekali gus menyediakan landasan kepada usaha meningkatkan pemasangan tempatan dan landskap pasaran yang dijangka berubah pada tahun hadapan.

Dari Januari hingga Oktober 2025, sejumlah 31,273 EV telah didaftarkan, sekali gus melepasi jumlah pada 2024 iaitu sebanyak 21,789 unit. EV kini merangkumi 5.34 peratus daripada TIV, manakala kenderaan hibrid petrol berada pada paras 3.44 peratus.

Pada Oktober sahaja, pendaftaran EV melonjak dengan ketara sebanyak 176.9 peratus tahun ke tahun kepada 4,345 unit berbanding 1,569 unit pada bulan yang sama pada 2024.

Proton e.MAS 7 merupakan model terlaris (742 unit), manakala jenama China terutamanya BYD mula menguasai pasaran dengan memperkenalkan pelbagai jenis model.

Tesla juga turut menjadi pemain utama, manakala pesaing baharu seperti Zeekr dan Xpeng mencatat peningkatan dalam carta jualan.

Pada 1 Disember, Perodua melancarkan kenderaan elektrik bateri (BEV) pertama buatan tempatan yang dinamakan QV-E, dengan harga sekitar RM80,000 seunit (tidak termasuk insurans dan bateri) serta konsep pajakan bateri Battery as a Service (BaaS) yang menawarkan jaminan bateri sepanjang hayat.

Usaha Perodua itu merupakan pencapaian penting yang membuktikan keupayaan Malaysia dalam mereka bentuk, usaha kejuruteraan dan mengeluarkan EV sendiri, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada model asing dan membina kepakaran teknologi EV tempatan.

Selain itu perasmian kilang pembuatan EV khusus pertama Proton di Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjong Malim turut merancakkan landskap automotif negara.

Pemindahan operasi dari Shah Alam selepas empat dekad beroperasi dilihat sebagai langkah strategik pengeluar kereta nasional itu untuk merasionalisasi, mengurangkan kos, meningkatkan kualiti dan beralih kepada teknologi baharu selepas melabur RM253 juta dalam barisan tekan tera (stamping) baharu di Tanjong Malim.

 

Cukai, duti dan perubahan dasar

 

Sejak kerajaan memutuskan untuk menamatkan insentif cukai ke atas EV yang diimport sepenuhnya (CBU) pada 31 Disember, 2025, ramai penganalisis berpendapat pendaftaran kenderaan jenis itu dijangka meningkat lebih tinggi sebelum tarikh akhir.

Bagaimanapun, insentif cukai bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) sepenuhnya akan terus diberikan sehingga akhir 2027.

Langkah ini akan terus menggalakkan industri untuk terbabit dalam pemasangan tempatan dan penyetempatan komponen, yang berpotensi memberi manfaat kepada pengeluar dan vendor automotif domestik.

Antara jenama terkemuka yang komited dalam pengeluaran secara CKD untuk EV termasuklah Proton dan BYD. Selain itu, lebih banyak jenama seperti Zeekr, iCaur dan XPeng dijangka memulakan pengeluaran secara CKD tidak lama lagi.

Bagaimanapun, pelancaran rasionalisasi subsidi petrol atau program BUDI95, di mana harga RON95 telah dikurangkan kepada RM1.99 seliter daripada RM2.05 seliter berkuat kuasa 30 September, boleh menjadikan peralihan kepada EV lebih perlahan daripada jangkaan.

Malaysia menyasarkan EV mewakili 20 peratus daripada jumlah jualan kenderaan baharu menjelang 2030, dengan visi jangka panjang meningkatkannya kepada 80 peratus menjelang 2050 termasuk kenderaan hibrid.

Dengan menurunkan kos (bahan api) efektif pemanduan untuk ramai rakyat Malaysia, BUDI95 mengurangkan salah satu kos berulang yang berkaitan dengan pemilikan kereta.

Sehubungan itu, kumpulan berpendapatan sederhana mempunyai kurang insentif untuk beralih daripada enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada EV buat masa ini.

Faktor harga yang tinggi dan ketersediaan infrastruktur pengecasan yang terhad dikenal pasti sebagai cabaran dalam ekosistem itu.

Kerajaan dalam menggalakkan pemilikan EV turut mengekalkan sasaran memasang 10,000 terminal pengecasan EV menjelang akhir 2025, dengan sumbangan daripada pelbagai pengendali terminal pengecasan dan pelaburan seperti syarikat Gentari dan Tesla.

Bagaimanapun, setakat 30 September, sejumlah 5,149 terminal pengecasan EV awam telah dipasang di seluruh negara — terdiri daripada 1,709 terminal pengecasan arus terus (DC) dan 3,440 terminal pengecasan arus ulang-alik (AC).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan