WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BURSA MALAYSIA DIJANGKA ALAMI KENAIKAN SEDERHANA MINGGU DEPAN, DIDORONG OPTIMISME

11/01/2025 10:39 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka merekodkan aliran pergerakan meningkat yang sederhana minggu depan, didorong aktiviti pembelian semasa harga murah dan keyakinan berkaitan perkembangan domestik.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata dagangan mungkin kekal dalam julat kecil kerana pelabur menilai optimisme berkaitan peluang tempatan dalam keadaan pendirian berhati-hati terhadap ketidaktentuan global.

Beliau berkata asas ekonomi Malaysia yang kukuh merupakan asas keyakinan pelabur.

“Asas kukuh ini membawa kestabilan dan menarik pelaburan berterusan, walaupun dalam keadaan cabaran luaran,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata di peringkat global, laporan gaji bukan ladang Amerika Syarikat (AS) bagi Disember 2024, yang dikeluarkan pada Jumaat, menunjukkan pertumbuhan yang lebih teguh berbanding dengan jangkaan, melepasi unjuran median oleh kalangan penganalisis.

Walaupun data itu menunjukkan pasaran buruh yang positif namun, maklumat tersebut turut mencetuskan turun naik ketara pasaran kerana pelabur mengharapkan angka yang lebih rendah untuk menyokong kemungkinan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed), katanya.

Mohd Sedek berkata kekukuhan pasaran pekerjaan yang luar jangka itu mengurangkan kemungkinan dua kali pengurangan kadar faedah bagi tahun ini, seperti yang dijangka sebelum ini.

Beliau berkata di peringkat domestik, pemformalan Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang ditandatangani pemimpin Malaysia dan Singapura, menjadi satu perkembangan penting.

Projek seperti Forest City, Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang, dan Desaru, serta enam zon utama di Iskandar Malaysia, menjadikan JS-SEZ sebagai hab perindustrian dengan potensi untuk berkembang dua kali saiz Shenzhen.

“Kami melihat perjanjian ini sebagai satu struktur yang positif untuk Malaysia, menyokong kitaran pelaburan yang berterusan dan memperkukuh sentimen pasaran bagi jangka masa panjang,” katanya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, indeks utama susut 27.05 mata kepada 1,602.41 daripada 1,629.46 pada minggu lepas.

Indeks FBM Emas menguncup 230.87 mata kepada 12,302.77, Indeks FBMT 100 turun 219.05 mata kepada 11,983.84, dan Indeks FBM Emas Shariah berkurang 295.75 mata kepada 12,250.74.

Indeks FBM 70 merosot 399.79 mata kepada 18,467.54, manakala Indeks FBM ACE turun 119.09 mata kepada 5,353.47.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan kurang 98.52 mata kepada 18,924.54, Indeks Perladangan menguncup 87.89 mata kepada 7,510.62, dan Indeks Penjagaan Kesihatan turun 102.51 mata kepada 2,259.52.

Indeks Teknologi susut 2.23 mata kepada 62.58, Indeks Tenaga berkurang 18.0 mata kepada 833.30, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 3.79 mata kepada 170.66.

Jumlah dagangan meningkat kepada 16.98 bilion unit bernilai RM14.37 bilion daripada 11.30 bilion unit bernilai RM8.98 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 8.71 bilion unit bernilai RM12.78 bilion daripada 6.10 bilion unit bernilai RM8.05 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada 5.51 bilion unit bernilai RM556.96 juta daripada 3.28 bilion unit bernilai RM315.05 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 2.75 bilion unit bernilai RM1.03 bilion daripada 1.91 bilion unit bernilai RM613.73 juta pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan