Oleh Muhammad Faiz Baharin
KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Permukiman Menteri Luar ASEAN di Langkawi pada 18 dan 19 Jan ini bakal menjadi acara pembuka tirai kepada Malaysia dalam menggalas tanggungjawab memimpin rantau Asia Tenggara selaku Pengerusi ASEAN bermula 1 Jan lepas.
Ia sekali gus menempa sejarah tersendiri buat agensi berita rasmi tunggal negara, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), yang sekali lagi menggalas tugas besar selaku Media Rasmi dan Penyelaras Pusat Media Antarabangsa bagi Sidang Kemuncak ASEAN 2025.
Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj berkata agensi itu sudah melakukan persiapan rapi bermula awal tahun lepas termasuk menyediakan latihan berkaitan penulisan berita selain memberi taklimat kepada semua petugas bagi memastikan segala perancangan diatur berjalan lancar.
Beliau berkata pasukan Bernama komited untuk memastikan amanah yang diberikan selaku Media Rasmi dan Penyelaras Pusat Media Antarabangsa itu dilaksanakan sebaiknya, dengan menggembleng seluruh kekuatan agensi itu di ibu pejabat dan biro-biro di seluruh negara.
"Bermula di Langkawi ini, semua petugas Bernama sama ada wartawan, jurufoto, juruvideo sehingga petugas teknikal bersama MREM (Perkhidmatan Perhubungan Media dan Pengurusan Acara) sudah diatur gerak untuk membuat liputan serta mengendalikan pusat media di sana sepanjang program berjalan," katanya.
Arul Rajoo berkata bagi Permukiman Menteri Luar ASEAN itu nanti, Bernama bersama-sama Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar rasmi akan membekalkan foto dan video kepada media lain yang membuat liputan bagi memastikan berita berkaitannya dapat disebar seluas mungkin.
Setakat Khamis lepas (9 Jan), MREM Bernama telah menerima lebih 200 permohonan untuk membuat liputan bagi Permukiman Menteri Luar ASEAN daripada pengamal media tempatan dan luar negara termasuk dari Singapura, Jepun, China, Vietnam dan Kuwait.
Mengulas lanjut, Arul Rajoo berkata selain program pertama di Langkawi, Bernama turut akan membuat liputan berkaitan Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China di Kuala Lumpur dan Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN di Johor bulan depan.
Beliau berkata mesyuarat lain merangkumi Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) di Pulau Pinang pada Mei, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Persidangan Pasca-Menteri (AMM/PMC) di Kuala Lumpur (Julai), SOM ASEAN di Negeri Sembilan serta acara yang dinanti-nantikan, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara pada Oktober.
Menurut Arul Rajoo, bagi memastikan segala laporan dihasilkan dapat diakses lebih mudah oleh pembaca agensi berita itu, Bernama turut menyediakan laman mikro khas yang memaparkan berita-berita berkaitan ASEAN bermula pada 1 Sept 2024.
"Laman mikro (microsite) asean.bernama.com itu menyediakan pautan berita berkaitan ASEAN yang dihasilkan oleh wartawan Bernama termasuk pewarta kita di Bangkok, Thailand; Jakarta, Indonesia dan Singapura," katanya.
Pada masa yang sama, katanya Bernama juga akan memanfaatkan jaringan kerjasama bersama agensi-agensi berita luar negara, seperti Pertubuhan Agensi-Agensi Berita Asia Pasifik (OANA) dan di sekitar Asia Tenggara bagi memastikan laporan berita dihasilkan berkaitan Kepengerusian ASEAN disebar ke seluruh dunia.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Kementerian Luar atas dukungan, kepercayaan serta kerjasama yang amat baik dalam membantu Bernama menjayakan amanah diberikan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada 16 Okt tahun lepas mengumumkan Bernama dilantik sebagai Media Rasmi dan Penyelaras Pusat Media Antarabangsa bagi Sidang Kemuncak ASEAN 2025 manakala RTM pula dilantik sebagai penyiar rasmi.
Bernama yang ditubuhkan secara rasmi pada 30 Ogos 1967 bersempena dengan ulang tahun ke-10 kemerdekaan negara, berpengalaman luas dalam menjadi media rasmi acara antarabangsa di negara ini antaranya Sukan Komanwel 1998, Sukan SEA 2001, ASEAN 2015 dan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.
“Sejak ditubuhkan, kita (Bernama) telah menabur khidmat, merakam banyak detik bersejarah negara dan saya yakin kita mampu melaksanakan tanggungjawab selaku Media Rasmi bagi ASEAN 2025 serta menterjemahkannya dengan penuh kejayaan berbekalkan pengalaman dan kepakaran tenaga kerja yang ada.
“Kita akan berikan yang terbaik, liputan menyeluruh daripada semua platform Bernama meliputi Bernama Wires, Bernama Foto, Bernama TV (Astro 502), Bernama Radio dan Bernama Digital Media,” katanya.
Bernama juga, katanya telah mula mempromosikan Kepengerusian ASEAN 2025 sejak Jan 2024 merangkumi semua platform Wires, TV, Radio, Digital Media dan Foto.
Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 1 Jan 2025 daripada Laos, dengan membawa tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.
Laos menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia pada 11 Okt 2024 semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Berkaitan di Vientiane.
Ia merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Diasaskan pada 8 Ogos 1967, ASEAN kini dianggotai 10 negara Asia Tenggara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam manakala kemasukan Timor-Leste untuk menjadi negara anggota masih lagi dalam proses.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial