WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SULTAN SELANGOR, TENGKU PERMAISURI BERKENAN RASMI LAKESIDE MALL

11/01/2025 03:43 PM

SHAH ALAM, 11 Jan (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyempurnakan perasmian pusat beli-belah Elmina Lakeside Mall (ELM) serta Elmina Outdoor Sculpture Museum (EOSM) Sime Darby Property di sini hari ini.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda berdua pada 10.15 pagi di Elmina Sales Gallery itu disambut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Sime Darby Property Datuk Seri Azmir Merican serta Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenaan melawat pameran dan mendengar penerangan oleh Azmir berhubung projek yang telah, serta sedang dilaksanakan oleh Sime Darby Property.

Sultan Selangor kemudiannya berkenan melafazkan titah perasmian ELM dan EOSM Sime Darby Property.

Sementara itu, Azmir menerusi kenyataan memaklumkan ELM yang beroperasi sejak Ogos tahun lepas di tanah seluas 6.96 hektar itu berfungsi sebagai hab runcit serta rekreasi yang dinamik untuk Bandar Elmina serta di kawasan sekitarnya.  

Beliau berkata reka bentuk terbuka pusat beli-belah itu mengurangkan penggunaan penyaman udara yang menyumbang kepada jejak karbon lebih rendah di samping menampilkan laluan berbasikal, pemasangan panel solar yang dirancang dan sebanyak 16 ruang cas kenderaan elektrik (EV) disediakan.

Dalam pada itu, Azmir berkata sebanyak 99 peratus lot premis di ELM telah disewa manakala lebih 180,000 pengunjung hadir pada minggu pembukaan Ogos tahun lepas, serta 640,000 pengunjung bagi purata bulanan.

“Kami amat menghargai sambutan luar biasa daripada penyewa dan pengunjung yang mengukuhkan kedudukan pusat beli-belah ini sebagai destinasi runcit dan riadah pilihan untuk komuniti. 

“Penambahan strategik di Bandar Elmina membolehkan kami mengintegrasikan peruncitan dengan alam semula jadi, mewujudkan pengalaman beli-belah unik yang mencerminkan visi kami untuk membina ruang yang memenuhi keperluan sebenar, memupuk hubungan dan menyokong gaya hidup moden dengan tumpuan pada kesejahteraan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut mewujudkan EOSM berhampiran pusat beli-belah itu, yang menyediakan ruang khusus untuk mempamerkan hasil seni arca artis kontemporari tempatan dan dijangka turut membabitkan bakat serantau serta antarabangsa.

“Muzium (arca terbuka) ini mewakili sintesis ekspresi artistik, kemampanan dan reka bentuk bandar yang inovatif dalam Bandar Elmina meningkatkan ruang komuniti dan pengalaman bagi penduduk setempat dan pameran sulung akan dilaksanakan membabitkan arca The Wealthy Horizons oleh Abdul Multhalib Musa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan