PASIR MAS, 13 Jan (Bernama) -- Yayasan Wilayah Persekutuan menyalurkan bantuan kepada 200 penduduk di daerah Pasir Mas yang terjejas akibat bencana banjir pada November lepas.
Pengurus Kanan Jabatan Pembangunan Komuniti, Komunikasi Strategik dan IT Yayasan Wilayah Persekutuan Dr Ida Harlina Ikhwan berkata bantuan bernilai RM300,000 itu disumbangkan Yayasan Kewangan dan Ekonomi Antarabangsa bersama penyumbang lain.
Beliau berkata sebanyak 200 katil dan 200 bakul makanan diagihkan kepada mangsa di sembilan kampung yang terkesan berdasarkan maklumat daripada Polis Diraja Malaysia, pemimpin setempat dan Angkatan Pertahanan Awam.
"Bantuan berkenaan amat penting bagi meringankan beban mangsa yang kehilangan keperluan asas akibat banjir luar jangkaan," katanya selepas Program Bantuan Bencana Pasca Banjir Kelantan di Pekarangan Stor Skuad Pasir Mas Madani, Kampung Banggol Gelang Mas, di sini hari ini.
Sementara itu, seorang mangsa dari kampung itu, Noraini Mokhtar, 64, berkata banjir yang melanda pada 27 Nov lepas adalah yang paling buruk sepanjang 23 tahun menetap di kawasan itu.
“Air naik setinggi dua meter, banyak barang tidak sempat diselamatkan. Saya bersama tujuh ahli keluarga berlindung di rumah dua tingkat milik anak yang terletak bersebelahan selama hampir seminggu kerana air lambat surut,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial