WILAYAH - UTARA > BERITA

NELAYAN HILANG: KELUARGA HARAP AMIN SELAMAT DITEMUI

13/01/2025 06:08 PM

SUNGAI PETANI, 13 Jan (Bernama) -- Ibu kepada seorang daripada nelayan yang dikhuatiri hilang ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di kedudukan sekitar 10.9 batu nautika barat Pulau Payar sejak Khamis lepas, berharap anaknya ditemui selamat.

Barisah Ahmad, 59, berkata tiada sebarang berita diterima mengenai anaknya Mohamad Al-Amin Sufian, 29, sejak dia dilaporkan hilang di laut.

“Pada mulanya, saya tak tahu tentang kehilangan Amin hinggalah awal pagi Sabtu lepas rakannya datang memberitahu Amin tidak pulang selepas turun ke laut sejak Khamis...selepas itu kami buat laporan kehilangannya di Balai Polis Tikam Batu.

“Dia banyak duduk di sangkar (pelantar ikan) di Batu Lintang, hanya sesekali balik ke rumah...bawa balik baju kotor untuk dibasuh atau bawa balik ikan hasil tangkapannya...kali terakhir dia balik Ahad minggu lepas,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya Taman Semarak di sini hari ini.

Barisah berkata kali terakhir anak kedua daripada lima beradik itu berhubung dengannya pada Selasa lepas kerana ingin memaklumkan mengenai barang yang dibelinya dalam talian akan dihantar ke rumah.

“Amin seorang yang tak banyak bercakap dan tak makan ikan...sebelum jadi nelayan, dia buat kerja sebagai tukang rumah tetapi sejak  2020 dia mula ikut kawan turun ke laut,” katanya.

Barisah berkata pihak pengurusan Surau Al Hidayah, Taman Semarak, di sini turut mengadakan bacaan Yasin malam tadi untuk mendoakan keselamatan Mohamad Al-Amin dan dua lagi yang hilang.

“Dia boleh berenang tapi tak cekap..saya yakin Amin masih hidup...saya berharap dan tak putus berdoa agar Amin dan kawan-kawan dapat ditemui segera dalam keadaan selamat,” katanya.

Sementara itu, kakak kepada Mohamad Al-Amin, Wafiy Syafikah, 31, turut berharap adiknya dan dua nelayan lain ditemui dalam keadaan selamat.

Terdahulu, media melaporkan tiga nelayan termasuk Mohamad Al-Amin serta dua beranak, Asrulhisham Zainon, 47, dan anak bongsunya, Mohd Aiman, 16, dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke pangkalan selepas melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat rawai, sejak Khamis lepas.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata operasi mencari dan menyelamat (carilamat) tiga nelayan yang dilaporkan hilang di sekitar Pulau Payar, memasuki hari ketiga hari ini.

Operasi Carilamat itu melibatkan aset udara dan sebuah kapal milik Maritim Malaysia, bot ronda milik Polis Diraja Malaysia dan bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dengan keluasan sektor pencarian sejauh 371.28 batu nautika persegi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan