WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ASEAN HARUS PERKUKUH AMALAN KEMAMPANAN UNTUK PENUHI VISI KOMUNITI ASEAN 2045 -SETIAUSAHA AGUNG

13/01/2025 05:59 PM

PETALING JAYA, 13 Jan (Bernama) -- ASEAN harus memperkukuhkan kepimpinan globalnya dalam amalan kemampanan untuk memenuhi agenda Wawasan Komuniti ASEAN 2045 yang dijangka akan dimuktamadkan semasa pengerusi ASEAN Malaysia tahun ini.

Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Horn berkata perkongsian dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan penjajaran Wawasan Komuniti ASEAN 2045 dengan Agenda Pembangunan Mampan PBB 2030 adalah contoh utama kepimpinan ASEAN.

"Negara anggota ASEAN juga mesti menggiatkan tindakan merentas rantaian nilai hijau (mesra alam sekitar) dan usaha penyahkarbonan. Dengan memanfaatkan kewangan mampan, memajukan ekonomi biru dan membolehkan peralihan perniagaan kepada amalan lebih hijau, ASEAN boleh mengimbangi pertumbuhan dengan pengawasan alam sekitar," katanya.

Kao berkata demikian dalam ucapan perasmiannya di Bengkel ASEAN mengenai Pembangunan Mampan (AWSD) 2025 di Sunway University di sini hari ini.

Beliau berkata Wawasan Komuniti ASEAN 2045 dan pelan strategiknya akan diterima pakai tahun ini dan ia menyediakan pelan hala tuju jelas untuk mempercepatkan pembangunan mampan di rantau ini.

“Buat pertama kali dalam sejarah ASEAN, kami akan menerima pakai wawasan selama 20 tahun, satu inisiatif yang telah dilaksanakan sejak sekian lama.

"Visi itu dipandu oleh tiga prinsip - keamanan, kemakmuran dan rakyat, bertujuan untuk mewujudkan masa depan mampan dan saksama," katanya.

Beliau berkata keamanan menyediakan asas untuk kestabilan; kemakmuran menggabungkan keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar; dan orang ramai akan berada di tengah-tengah pembangunan mampan.

Kao turut menekankan kepentingan membentuk transformasi digital yang inklusif dan mampan.

“Dengan lebih 480 juta pengguna Internet aktif, ekonomi digital ASEAN diunjurkan mencecah US$1.0 trilion (US$1=RM4.51) menjelang 2030. Memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN tahun ini diunjurkan menghasilkan nilai sehingga US$2.0 trilion,” katanya.

Dalam pada itu, pelaburan dalam modal insan juga penting dengan pendidikan dan pembangunan kemahiran kekal sebagai keutamaan utama, katanya.

Kao turut menyeru memperkasakan golongan belia dan memupuk multilateralisme untuk memajukan agenda Wawasan Komuniti ASEAN 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan