WILAYAH - TIMUR > BERITA

POLIS REKOD RM95 JUTA KERUGIAN JENAYAH KOMERSIAL DI PAHANG PADA 2024

13/01/2025 07:06 PM

KUANTAN, 13 Jan (Bernama) -- Sebanyak 2,263 kes jenayah komersial direkodkan di negeri ini melibatkan kerugian berjumlah RM95 juta pada tahun lepas. 

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata nilai berkenaan menunjukkan peningkatan 59 peratus berbanding tahun sebelumnya selain sebanyak 1,776 tangkapan dicatatkan pada 2024.

“Sebanyak 929 kertas siasatan berjaya dituduh di mahkamah, sekali gus mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) pertuduhan yang ditetapkan iaitu 53.1 peratus," katanya ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini. 

Sementara itu, beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri mencatatkan kejayaan membanggakan tahun lepas apabila merekodkan peratusan penyelesaian kes sebanyak 61.28 peratus dengan daerah Pekan mengungguli sebanyak 80.65 peratus.

"Selain itu, terdapat penurunan jumlah indeks jenayah kekerasan iaitu 387 kes berbanding 409 kes pada 2023, menunjukkan JSJ Pahang berada di landasan tepat dalam memastikan keselamatan negeri pada tahap optimum," katanya.  

Mengulas prestasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, beliau berkata sebanyak 12,466 kes dengan 13,814 jumlah tangkapan atas pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah telah direkodkan tahun lepas.

"Nilai rampasan dadah menunjukkan peningkatan RM7 juta berbanding 2023 di samping nilai sitaan harta berkaitan dadah dianggarkan RM1.8 juta. Kadar penyelesaian kes jenayah narkotik juga merekodkan 11,350 kes berjaya diselesaikan iaitu bersamaan 95 peratus," katanya.

Beliau berkata Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang mencatatkan 419 kes bagi kemalangan maut pada 2024 iaitu penurunan 25 kes berbanding tahun sebelumnya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan