KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Pasaran hartanah Malaysia pada 2025 bakal menyaksikan peningkatan permintaan ke atas projek pembangunan berorientasikan transit (ToD) dan hartanah mampu milik, kata Titijaya Land Bhd.
Minat yang meningkat terhadap hartanah mampu milik berharga antara RM300,000 dan RM500,000 adalah respons kepada kebimbangan mengenai inflasi dan kos sara hidup yang tinggi, kata pemaju itu dalam satu kenyataan hari ini.
Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Lim Poh Yit berkata peningkatan permintaan terhadap projek ToD didapati terutamanya dalam kalangan generasi muda dinamik yang bekerja di bandar.
“Projek ToD yang direka dengan baik menawarkan gaya hidup di bandar dan kemudahan untuk bekerja yang sudah terbukti popular di bandar-bandar utama di Jepun, Hong Kong dan Singapura.
“Kami juga menyaksikan pelbagai projek infrastruktur pengangkutan awam sedang dibangunkan atau dirancang di seluruh Malaysia seperti Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2, Laluan Rel Pantai Timur, Laluan Lingkaran MRT 3, Transit Aliran Ringan 3 dan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura turut memberikan dorongan kepada segmen ToD,” katanya.
Beliau berkata kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2023 menyebabkan ramai pembeli hartanah di Malaysia perlu membayar semula ansuran pinjaman perumahan bulanan mereka lebih tinggi.
Oleh itu, katanya mereka yang mempunyai pinjaman dalam jumlah yang lebih besar, terutamanya pemegang pinjaman kadar terapung paling terkesan dengan kenaikan OPR ini.
“Dengan kebimbangan mengenai kenaikan inflasi, rasionalisasi subsidi dan kemungkinan kenaikan kadar faedah pada 2025, pembeli kini lebih berhati-hati dalam berbelanja.
“Hartanah dalam lingkungan RM500,000 hingga RM700,000 yang dahulunya menjadi pilihan pembeli hartanah tempatan tetapi ini telah berubah berikutan kuasa perbelanjaan yang lebih rendah daripada jangkaan dan perbelanjaan sara hidup yang lebih tinggi,” katanya.
Oleh itu, katanya pembeli yang sebelum ini memilih unit hartanah berharga RM500,000 kini beralih kepada unit berharga RM300,000.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial