WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUBSIDI DIESEL : KOMITMEN KERAJAAN KURANGKAN BEBAN RAKYAT, RANCAKKAN EKONOMI PULAU

16/01/2025 04:21 PM

ALOR SETAR, 16 Jan (Bernama) -- Pemberian subsidi diesel kepada pengusaha feri, bot penumpang dan perkhidmatan Roll On Roll Off (RoRo) di tujuh pulau utama negara, mencerminkan strategi penyasaran subsidi yang memastikan bantuan disalurkan kepada sektor kritikal demi manfaat rakyat dan ekonomi tempatan.

Langkah yang berkuat kuasa 1 Jan, bukan sahaja membantu mengurangkan kos operasi pengusaha tetapi juga memastikan tambang kekal berpatutan dan secara langsung mengelakkan beban tambahan kepada pengguna, terutama dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar.

Subsidi ini diberikan apabila harga pasaran diesel melebihi harga siling diesel bersubsidi pada RM2.50 seliter dengan kadar maksimum subsidi 50 sen seliter. Inisiatif ini dilihat sebagai penyelamat kepada pengusaha feri yang berdepan kenaikan kos operasi seperti bahan api, alat ganti dan kadar upah.

Pulau-pulau yang terlibat antaranya Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Pulau Redang, Pulau Ketam, Pulau Pinang dan Labuan.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohd Yusrizal Yusoff menyifatkan insiatif kerajaan itu tepat pada masanya, untuk membantu sektor yang amat penting kepada ekonomi setempat.

“Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban pengusaha feri dan bot, tetapi juga melindungi rakyat daripada kenaikan tambang yang boleh menambah tekanan kewangan mereka. Kita harap lebih banyak sektor akan dipertimbangkan untuk terima subsidi bersasar seperti ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pengurus Besar Ferry Line Ventures Sdn Bhd Kapten Dr Baharin Baharom pula melihat pemberian subsidi ini, memberikan nafas baharu dalam menghadapi cabaran kos operasi yang semakin meningkat. 

Syarikat itu yang menggabungkan tujuh syarikat feri yang beroperasi di Langkawi itu baru-baru ini mengumumkan kenaikan kadar tambang antara RM3 hingga RM10.50, membatalkan langkah itu selepas kerajaan mengumumkan pemberian subsidi bagi sektor berkenaan, sejajar dengan usaha keprihatinan kerajaan untuk memastikan keberlangsungan dan keberkesanan perkhidmatan pengangkutan awam.

“Pengusaha feri di Malaysia sejak dari dulu terbeban dengan peningkatan pelbagai kos operasi seperti peningkatan kos alat ganti yang diimport dan kadar upah. Subsidi diesel ini bukan sahaja membantu kami mengekalkan operasi tetapi juga menyokong peningkatan jumlah pelancong, khususnya pada musim cuti sekolah,” katanya.

Sementara itu, bagi pengguna seperti Mohd Hilmi Mahmud, 39, seorang guru yang kerap berulang-alik antara Langkawi ke tanah besar, subsidi yang diberi menunjukkan bahawa kerajaan mendengar suara rakyat bawahan.

“Kalau tambang feri naik akan membebankan kami yang bergantung pada perkhidmatan ini setiap minggu, selain menyebabkan kemasukan pelancong tempatan berkurangan kerana kos meningkat,” katanya.

Pengusaha bot Mat Adek Mohd Amin, 65, dari Pulau Redang yang telah menjalankan perkhidmatan itu lebih 20 tahun pula berkata ketika ini, hanya lapan pengusaha bot di pulau berkenaan yang masih menggunakan diesel dan yakin pemberian subsidi itu akan memberi banyak penjimatan kepada mereka.

Beliau berkata pada harga diesel semasa, beliau memperuntukkan antara RM750 hingga RM800 bagi setiap isian penuh tangki botnya yang berkapasiti 250 liter untuk kegunaan maksima tiga hari, bergantung kepada jarak dan penggunaan.

“Jadi, secara kasarnya kalau ikut harga subsidi ini, Alhamdulillah akan ada pengurangan kepada kos bahan bakar saya kepada lebih kurang RM625,” katanya.

Seorang lagi pengusaha bot Mohd Zuki Md Nor, 40, mengakui lega dengan syarat kelulusan bantuan subsidi yang tidak membebankan, kerana pengusaha antaranya hanya perlu berdaftar dengan Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan mendapat bekalan diesel daripada syarikat bunker atau skid tank yang disahkan pihak berkuasa.

Beliau yang mengusahakan empat buah bot berkata ketetapan untuk penerima mengemukakan permohonan kuota pembelian diesel kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel (JKSD) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), juga bukanlah suatu isu.

“Bagaimanapun, diharapkan mungkin pihak KPDN akan turun ke pulau untuk memudahkan lagi urusan tersebut, kerana kalau tidak kami perlu menyeberang laut ke Kuala Terengganu untuk membuat permohonan,” katanya.

Tuntutan subsidi diesel perlu dibuat secara bulanan berdasarkan kadar yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan (MoF) pada setiap bulan dan pengusaha perlu mengemukakan dokumen tuntutan yang disahkan JLM ke MoF serta satu salinan kepada Stesen Kastam terdekat untuk proses verifikasi tidak lewat daripada 20 hari bulan setiap bulan berikutnya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan