WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FSBM METERAI MOU DENGAN VISIONTECH, CYDENTIQ MAJUKAN PENYELESAIAN AI, KESELAMATAN SIBER

16/01/2025 04:39 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Syarikat perkhidmatan teknologi maklumat FSBM Holdings Bhd, menerusi anak syarikat milik penuhnya FSBM I-Design Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan VisionTech Pte Ltd (VisionTech) dan Cydentiq Sdn Bhd (Cydentiq).

Pemeteraian dua MoU itu bertujuan membangunkan penyelesaian kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber yang canggih.

Kerjasama dengan VisionTech, firma AI generatif berpangkalan di Singapura itu menyasar untuk mewujudkan penyelesaian dipacu AI bagi meningkatkan kecekapan, mengatasi cabaran tenaga kerja dan menambah baik proses membuat keputusan.

Sementara itu, kerjasama dengan penyedia penyelesaian keselamatan siber Cydentiq pula tertumpu kepada usaha mengukuhkan langkah keselamatan seperti tadbir urus identiti, pemantauan ancaman dan pematuhan industri.

Pengarah Eksekutif FSBM William Ng Kok Kiong berkata kerjasama itu merupakan antara strategi pihaknya untuk memperluas tawaran dalam analisis, risikan perniagaan serta AI Pelbagai Benda (AIoT).

“Pasaran keselamatan siber di Malaysia sangat luas, dan tidak banyak peserta dalam bidang ini, jadi kami mahu berada dalam pasaran ini dengan cepat.

“Kerajaan Malaysia ketika ini giat menggalakkan initiatif berkaitan AI, dan masanya amat sesuai memandangkan visi kami selari dengan usaha ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian MoU itu.

Mengenai sasaran FSBM, Ng berkata pihaknya komited untuk mengembangkan kehadiran dalam pasaran.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk menguasai sebahagian pasaran. Walaupun saya tidak menjanjikan angka yang tepat namun, saya jamin kami akan berkembang dalam pasaran bersama-sama dua rakan kongsi baharu.

“Menerusi kerjasama dengan VisionTech dan Cydentiq, kami menyasar untuk memenuhi keperluan perniagaan yang sentiasa berubah dalam menggunakan teknologi AI di samping memastikan penyelesaian ini selamat dan mematuhi piawaian etika,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan