WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LANGKAWI DIHIASI WARNA ASEAN SEMPENA PERMUKIMAN MENTERI LUAR

16/01/2025 05:03 PM

Oleh Linda Khoo

LANGKAWI, 16 Jan (Bernama) -- Sebagai persediaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah bagi delegasi  Permukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) yang bermula pada Sabtu ini, pulau peranginan Langkawi dipenuhi dengan logo dan gegantung ASEAN.

Permukiman dua hari itu menandakan mesyuarat peringkat menteri pertama ASEAN di bawah Kepengerusian Malaysia bagi 2025, yang menjadi pembuka tirai bagi tahun yang sibuk dan penting.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, tetamu dan kenamaan yang tiba disambut dengan mesej tertera, "Selamat Datang. Langkawi Mengalu-alukan Semua Delegasi ASEAN."

Logo dan gegantung ASEAN dipamerkan dengan jelas di pulau ini bagi menyambut lebih 200 delegasi dari 10 negara anggota selain Timor-Leste, selaku negara pemerhati ASEAN.

Logo Pengerusi ASEAN 2025, yang menggunakan warna biru, merah, kuning dan putih, mencerminkan warna utama bendera semua negara anggota ASEAN, menekankan tema perpaduan dan menarik perhatian orang ramai serta delegasi.

Diinspirasikan oleh bunga kebangsaan Malaysia, Hibiscus rosa-sinensis (Bunga Raya), logo tersebut menyerlahkan kekayaan budaya negara ini sambil mencerminkan perpaduan dan identiti komuniti ASEAN. Lima kelopak bunga yang melengkung ke dalam dan merangkul logo ASEAN di tengah-tengah menggambarkan komitmen Malaysia untuk memupuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran.

AMM dijadualkan bermula pada Ahad ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) manakala Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN akan diadakan pada Sabtu.

Permukiman ini akan menjadi mesyuarat utama pertama di bawah kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.

Dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan," Malaysia akan menganjurkan lebih 300 mesyuarat dan program utama di seluruh negara tahun ini.

Bagi menyokong perwakilan dan meningkatkan penglibatan awam semasa Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN, meja bantuan 24 jam ditubuhkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Inisiatif ini, yang diterajui oleh Kementerian Luar dengan sokongan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), bertujuan untuk memastikan penyelarasan dan jangkauan yang lancar.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan