WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERAJAAN PAHANG AKAN BANGUNKAN PUSAT DATA AI

16/01/2025 10:18 PM

 KUANTAN, 16 Jan (Bernama) -- Kerajaan Pahang akan membangunkan Pusat Data Kecerdasan Buatan (AIDC) sebagai platform baharu perniagaan secara dalam talian berasaskan produk pertanian yang dijangka mula dilaksanakan pada Januari 2026. 

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata projek yang pertama di negeri Pantai Timur itu menyasarkan produk pertanian tempatan untuk pemasaran domestik dan global. 

“Projek menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) ini akan memanfaatkan teknologi pengkomputeran awan dan teknologi kecerdasan buatan (AI) melalui pembangunan pusat data pengkomputeran pintar berskala besar serantau serta menggalakkan pembangunan industri digital negara.

“Ini sekali gus dapat membantu pengusaha memasarkan produk pertanian mereka serta merancakkan lagi ekonomi negeri Pahang,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata kerajaan Pahang juga menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada semalam bersetuju membangunkan projek perumahan Pangsapuri Pahangku di kawasan berhampiran stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Bentong.

Beliau berkata projek itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri dalam menyediakan perumahan mampu milik dan selesa kepada rakyat Pahang khususnya kepada golongan muda selain memanfaatkan sistem pengangkutan ECRL.

Selain itu, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri juga telah merangka pembangunan berorentasikan transit (TOD) di setiap stesen ECRL seperti pusat komersial, perumahan, pusat pendidikan serta projek komuniti.

“Projek ini dijangka memberikan impak positif kepada pembangunan sosioekonomi di Bentong dengan mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan keselesaan hidup rakyat serta memperkukuh jaringan infrastruktur perumahan dan pengangkutan.

“Saya amat berharap agar projek ini dapat dilaksanakan dengan baik agar manfaatnya diterima oleh rakyat negeri ini,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan