WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AKAUNTAN WARGA EMAS RUGI RM460,888 TERPEDAYA PELABURAN BITCOIN

18/01/2025 08:48 AM

JOHOR BAHRU, 17 Jan (Bernama) -- Seorang warga emas berputih mata apabila kerugian RM460,888 selepas terpedaya pelaburan bitcoin yang menjanjikan pulangan lumayan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga seorang akauntan, mendakwa dirinya ditipu satu pelaburan bitcoin bernama 'PFOU' yang disertainya pada Julai lepas.

Wanita berusia 61 tahun itu tertarik dengan iklan pelaburan di laman facebook dan menekan pautan yang disertakan sebelum dimasukkan ke dalam 'group' pelaburan bitcoin serta diberikan penerangan oleh beberapa individu tentang pelaburan yang menjanjikan pulangan cepat dan lumayan.

"Pada penghujung Disember, mangsa mengambil keputusan menyertai pelaburan itu memandangkan hampir bersara. Mangsa telah diarahkan memuat turun aplikasi 'UVKXE' bagi memantau bitcoin yang dilabur dan keuntungan yang diperoleh.

"Mangsa membuat tiga kali transaksi pembayaran ke dalam dua akaun bank berbeza berjumlah RM460,888 pada 30 Dis hingga 16 Jan.

"Mangsa dapat melihat transaksi pelaburan itu dalam aplikasi 'UVKXE' dan keuntungan  berjumlah USDT 1,219,907.6624 bersamaan RM5.5 juta," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata mangsa berhasrat mengeluarkan keuntungan itu namun dia diarahkan membuat pembayaran sebanyak RM550,152.35 untuk bayaran pengurusan.

Mohd Sohaimi berkata mangsa tidak membuat bayaran itu kerana  percaya dirinya telah ditipu sebelum bertindak membuat laporan polis semalam.

"Kes disiasat  di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan serta denda.

"Siasatan juga meliputi penglibatan 'keldai akaun'  di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 

"Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada terhadap taktik penipuan secara dalam talian yang semakin berleluasa dan jangan mudah percaya dengan iklan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan cepat, lumayan dan kaedah pelaburan mudah," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan