WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DIHASILKAN SETAHUN SEKALI KUIH KAPIT TRADISIONAL LIMA BERADIK SERING DINANTIKAN PELANGGAN

18/01/2025 10:35 AM

Oleh Mohamad Harith Mohamad Nizar

IPOH, 18 Jan (Bernama) -- Hanya dihasilkan pada musim perayaan Tahun Baharu Cina, kuih tradisional kapit yang diusahakan lima beradik di sini senantiasa dinanti-nantikan pelanggan setia mereka setiap tahun. 

Istimewanya kuih kapit dihasilkan Low Siew Lee, 65, Low Sow Yoong, 66, Low Siew Choo, 57, Low Siew Tiong, 63, dan Low Siew Toh, 62, kerana masih menggunakan kaedah tradisional iaitu dibakar menggunakan dapur arang, membuatkan ia lebih beraroma. 

Siew Lee berkata tempahan dibuka seawal dua bulan menjelang perayaan bagi memastikan cukup tempoh menghasilkan kuih yang berkualiti dan boleh disiapkan dalam masa dua atau tiga hari sebelum perayaan. 

"Walaupun tahun ini tempahan agak perlahan iaitu kira-kira 1,000 balang berbanding lebih 2,000 balang pada tahun-tahun sebelumnya, tapi kami tetap meluangkan masa hingga dua bulan bagi menyiapkan tempahan untuk memastikan pelanggan mendapat kuih yang sama rasanya setiap tahun," katanya ketika ditemui Bernama di premisnya di hadapan Pasar Simee di sini. 

Anak ke-11 daripada 15 beradik itu berkata mereka akan memulakan proses membuat kuih seawal 4 pagi bermula daripada menyediakan bahan, membancuh adunan sehingga membakar, berterusan hingga 6 petang. 

Siew Lee berkata untuk menghasilkan kuih yang teskturnya rangup, kelikatan adunan perlu tepat dan semasa perlu sentiasa memeriksa semasa proses membakar supaya masak dengan sempurna dan berwarna keemasan sekata.

Berkenaan penggunaan arang, Siew Lee berkata ia menjimatkan kos namun tidak dari segi masa berbanding penggunaan gas yang boleh membakar banyak kuih dalam satu masa.

"Semua orang pun suka makan ini biskut (kuih kapit). Mereka (pelanggan) kata kuih kapit kami wangi dan rasa lebih sedap sebab kami bakar menggunakan arang," katanya sambil menambah bahan asas yang digunakan ialah tepung beras dan telur.

Kuih kapit yang dihasilkan mereka juga mampu bertahan sehingga hampir setahun jika disimpan dengan betul, menurut testimoni pelanggan. 

Pelanggan bukan sahaja dari Perak malah ada yang sanggup datang dari Kuala Lumpur dan Singapura selain mereka yang tinggal di negeri lain yang mendapatkannya menerusi bantuan kenalan, saudara atau adik-beradik yang menetap di Ipoh untuk membuat tempahan.

Memulakan perniagaan dengan berkongsi modal, Siew Lee berkata peralatan juga hasil pemberian rakan-rakan yang mahu melihat perniagaan mereka berjaya.

Beliau berkata mereka tidak begitu agresif melakukan promosi sebaliknya pelanggan yang menguar-uarkan mengenai produk mereka sehingga cukup dikenali sekarang. 

Bercerita lanjut, Siew Lee berkata kuih kapit antara kuih yang menjadi pilihan ketika Tahun Baharu Cina kerana digemari pelbagai bangsa mahupun peringkat usia. 

Kuih kapit yang dijual dengan harga RM33 sebalang itu bukanlah satu-satunya produk dihasilkan lima beradik itu kerana mereka juga menghasilkan kuih biskut Indonesia yang menggunakan bahan asas antaranya tepung gandum dan telur serta kacang tanah. 

Selain itu, dia bersama adik-beradiknya juga akan berniaga kuih dan buah-buahan di sekitar Ipoh di luar musim perayaan Tahun Baharu Cina.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan