WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FTA MALAYSIA-UK MENERUSI CPTPP DIJANGKA TINGKAT PELABURAN, PERDAGANGAN - TENGKU ZAFRUL

18/01/2025 09:22 PM

Daripada D.Arul Rajoo

LONDON, 18 Jan (Bernama) – Malaysia boleh menjangkakan peningkatan pelaburan dan perdagangan dengan United Kingdom (UK) apabila kedua-dua negara akan mempunyai perjanjian perdagangan bebas buat kali pertama menerusi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata CPTPP adalah permulaan yang baik untuk syarikat mendapat akses ke pasaran di setiap negara dari aspek tarif dan kebolehcapaian.

“Ini (CPTPP) sudah tentunya akan menggalakkan syarikat kita mengeksport barangan dan perkhidmatan ke UK,” katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selama lima hari ke United Kingdom.

Tengku Zafrul berkata impak daripada CPTPP terhadap hubungan dua hala antara kedua-dua negara dibincangkan ketika Anwar bertemu rakan sejawatannya Sir Keir Starmer pada 15 Jan lepas.

Malaysia meratifikasi CPTPP pada Oktober 2024, menyertai Peru, Jepun, Singapura, Chile, New Zealand dan Vietnam meratifikasikan perjanjian tersebut, manakala UK menyertai pada Disember lepas.

CPTPP ialah blok perdagangan Asia-Pasifik yang terdiri daripada 11 negara serta UK. Sebelas ahli asal ialah Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Pada Khamis, Tengku Zafrul dan Menteri bagi Dasar Perdagangan dan Keselamatan Ekonomi UK, Douglas Alexander mengadakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Bersama Ekonomi dan Perdagangan (JETCO) pimpinan menteri berkaitan dari kedua-dua negara untuk meneroka kaedah meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala.

Mengenai prospek pelaburan dari UK pada masa depan, Tengku Zafrul berkata semakin banyak syarikat merancang untuk meneroka ke Malaysia atau meningkatkan pelaburan mereka.

“Kita berjaya memperoleh potensi pelaburan bernilai RM11 bilion semasa lawatan Perdana Menteri ke sini. Jumlah terbesar adalah bagi pusat data, dengan sebuah syarikat mahu melabur lagi sebanyak RM5 bilion,” katanya. 

Tengku Zafrul berkata pelabur yang berpotensi berminat untuk mendengar daripada Perdana Menteri sendiri tentang keadaan di Malaysia dan dasar di bawah pentadbiran beliau.

Semasa lawatan kerja beliau di sini, Anwar menghadiri mesyuarat meja bulat dengan pemimpin industri dan Invest Malaysia, serta melancarkan projek pembangunan perumahan dan bandar baharu YTL Group bernilai £2 bilion (RM11 bilion) di Bristol, UK.

Perdana Menteri juga melancarkan ladang solar berkapasiti 102 megawatt (MW) Eastfield dan Bunkers Hill Tenaga Nasional Bhd serta melawat Stesen Janakuasa Battersea, yang merupakan pelaburan terbesar Malaysia melibatkan dana awam di Eropah.

“Ini adalah pelaburan swasta. Namun ia dijangka membawa manfaat yang amat besar kepada Malaysia melalui keuntungan, dividen dan juga import barangan dan perkhidmatan dari Malaysia untuk projek mereka di sini,” katanya.

UK adalah rakan dagangan keempat terbesar Malaysia di Eropah, dengan jumlah perdagangan berjumlah RM15.30 bilion (US$3.34 bilion) dalam tempoh 11 bulan pertama 2024.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan