WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KASTAM LAKSANA PUSINGAN KERJA MENYELURUH, TINGKAT KEBERKESANAN TADBIR URUS

21/01/2025 09:58 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melaksanakan pusingan kerja secara menyeluruh sebagai langkah strategik utama dalam memperkukuhkan keberkesanan tadbir urus serta mengurangkan risiko integriti di lokasi-lokasi berisiko tinggi.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin menerusi kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu bertujuan memastikan pematuhan kepada reformasi sektor awam selain mempertingkatkan kompetensi dan produktiviti pegawai yang terlibat serta integriti perkhidmatan JKDM.

Beliau berkata sepanjang tahun 2024, JKDM telah melaksanakan pusingan kerja di seluruh negara melibatkan 840 pegawai pelbagai gred jawatan. 

“Pelaksanaan ini selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (Kaedah Penempatan Pegawai Dalam Perkhidmatan Awam dan Urusan-Urusan Lain Berkenaan Penempatan), Ceraian UP.2.2.1 dan Perintah Tetap Perjawatan Bilangan 78 (Dasar Penempatan dan Pertukaran Pegawai JKDM).

“Langkah strategik ini diambil bagi meningkatkan kepakaran dan kemahiran serta pengalaman warga JKDM secara horizontal bagi memenuhi keperluan peningkatan kerja, sekali gus memastikan keseimbangan fungsi dan keberkesanan pelaksanaan tugas demi kepentingan kemajuan kerjaya pada masa hadapan,” katanya.

Anis Rizana berkata pelaksanaan pusingan kerja itu berjaya memecahkan mentaliti “silo” dalam kalangan warga kerja apabila pegawai didorong untuk memahami keseluruhan fungsi jabatan dan tidak berfokus kepada sesuatu fungsi sahaja. 

“Ia membolehkan pegawai melihat organisasi di mana mereka ditempatkan dari perspektif yang berbeza, dan dengan itu mereka dapat mencuba pendekatan baharu yang boleh mempertingkatkan lagi keberkesanan organisasi seterusnya menjadikan JKDM lebih berkesan dan bersinergi.

“Pelaksanaan ini bukan sahaja memperkukuh struktur organisasi tetapi juga memacu ke arah prestasi unggul dalam setiap aspek operasi jabatan. Dengan semangat kerjasama yang kukuh, kita dapat membina JKDM yang cekap, tangkas dan berintegriti dalam memenuhi cabaran semasa,” katanya.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada Majlis Amanat KSN Tahun 2025, mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk meneliti dan melaksanakan pusingan kerja membabitkan penjawat awam yang berkhidmat lebih lima tahun di kaunter perkhidmatan.

Ini kerana tempoh lima tahun bertugas di kaunter dilihat terlalu lama dan tidak bersesuaian, sekali gus beliau mahu pelaksanaan pusingan kerja dilaksanakan dalam masa terdekat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan