WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM ANWAR SAMPAIKAN UCAPTAMA PADA SESI PLENARI ASEAN SEMPENA WEF DI DAVOS MALAM INI

22/01/2025 04:58 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan ucaptama pada Sesi Awam Peringkat Tinggi: Pleno ASEAN bersempena Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland, 9 malam ini.

Menurut hantaran di media sosial beliau, ucaptama bertajuk ASEAN-Even Stronger Together ini akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook Bernama dan RTM serta siaran Astro Awani.

“Insya-Allah, saya akan mengupas keutamaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia tahun ini, serta peranan penting ASEAN dalam membentuk landskap ekonomi global,” menurut hantaran itu.

Anwar kini sedang dalam lawatan kerja tiga hari menghadiri WEF 2025, yang merupakan penyertaan sulung beliau sejak menjadi Perdana Menteri pada 2022.

Malaysia secara rasmi mengambil peranan sebagai Pengerusi ASEAN bermula 1 Jan 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.

Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sepanjang sejarah keanggotaan dalam blok serantau itu iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan