WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERLIS REKOD KADAR AIR TIDAK BERHASIL TERTINGGI DALAM NEGARA

23/01/2025 07:43 PM

CYBERJAYA, 23 Jan (Bernama) -- Perlis merekodkan kadar air tidak berhasil (NRW) tertinggi dalam negara iaitu kira-kira 62 peratus, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negera (SPAN) Charles Santiago.

Beliau berkata ia diikuti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang masing-masing merekodkan NRW sebanyak 50 hingga 58 peratus.

Bagi mengatasi masalah itu, Charles berkata kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air serta SPAN sedang melaksana satu pelan besar-besaran.

"Kita sedang meneliti secara terperinci untuk mencari jalan bagi mengurangkan NRW sebanyak mungkin dalam masa paling singkat supaya pendapatan dapat meningkat.

"Kemampanan kewangan pengendali kita bergantung kepada bagaimana kita mengurus dan menyelesaikan isu NRW," katanya pada sidang media selepas pemeteraian Pelan Tindakan  Mentransformasikan Perkhidmatan Bekalan Air Perlis di sini hari ini.

SPAN turut memeterai satu pelan tindakan bagi memantau dan membantu Syarikat Air Perlis Sdn Bhd (SAP) mencapai beberapa sasaran penunjuk prestasi utama.

Pelan tindakan itu merangkumi kerjasama untuk mengurangkan NRW, meningkatkan kompetensi modal insan dan perbincangan cadangan projek-projek perbelanjaan infrastruktur (CAPEX).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan