WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BURUH WARGA ASING MAUT JATUH DI TAPAK PEMBINAAN DI MERU RAYA

27/01/2025 05:03 PM

IPOH, 27 Jan (Bernama) -- Seorang pekerja binaan warga asing maut selepas terjatuh dari ketinggian lapan meter di tapak pembinaan bangunan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Meru Raya di sini hari ini. 

Lelaki berusia 43 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang ke lokasi ketika operasi menyelamatkan dijalankan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.06 pagi. 

Beliau berkata dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri dan dibawa ke tempat lapang oleh pekerja lain untuk bantuan dan kita melaksanakan size-up, seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER (System Approach To Victim Entrapment Rescue) dengan mengarahkan anggota membuat pemeriksaan dan memberikan bantuan pernafasan CPR (resusitasi kardiopulmonari ) kepada mangsa.

"Pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  turut memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa namun mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Sabarodzi berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada 10.45 pagi. 

Sementara itu, PERKESO dalam kenyataan berasingan mengesahkan kejadian berkenaan melibatkan bangunan agensi itu yang dalam pembinaan di lokasi tersebut.

PERKESO memaklumkan menurut laporan awal, kejadian pada 9 pagi itu melibatkan mangsa yang sedang melakukan kerja-kerja binaan di Blok E bangunan berkenaan.

"Laporan polis telah dibuat berhubung kejadian tersebut untuk siasatan lanjut. Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Negeri Perak (JKKP) juga telah dimaklumkan dan mereka ke kawasan kejadian untuk membuat penilaian awal berhubung kemalangan ini," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, PERKESO memaklumkan kerja-kerja pembinaan di lokasi blok terbabit dihentikan serta-merta hingga hasil siasatan JKKP selesai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan