WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMILIK SYARIKAT DIDENDA RM188,000 TIPU MANGSA TUNTUTAN PERKESO

27/01/2025 03:07 PM

BUTTERWORTH, 27 Jan (Bernama) -- Seorang pemilik syarikat didenda RM188,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menipu lima mangsa berhubung pengurusan peratusan tafsiran penilaian Hilang Upaya Kekal (HUK) dalam tuntutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dari 2017 hingga 2023.

Mohamad Afizal Mohd Akhirudin, 33, dijatuhkan hukuman itu selepas membuat pengakuan terhadap tujuh pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Zulhazmi menjatuhkan hukuman denda RM39,000 atau penjara 10 bulan jika gagal menjelaskan denda bagi pertuduhan pilihan pertama; RM57,000 (12 bulan) bagi pertuduhan pilihan kedua; diikuti denda RM30,000 (10 bulan); RM10,500 (empat bulan); RM30,000 (10 bulan); RM2,500 (dua bulan) dan RM19,000 atau enam bulan penjara.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, Mohamad Afizal didakwa secara tidak jujur, telah menipu lima pemohon dengan memperdayakan mereka untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh menguruskan peratusan tafsiran penilaian HUK yang tinggi oleh jemaah doktor dalam tuntutan PERKESO HUK dengan syarat-syarat tertentu yang ditetapkan tertuduh.

Perbuatan itu menyebabkan lima orang yang diperdaya menyerahkan wang berjumlah RM188,000 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank Syarikat Jentayu Tujuh Venture milik tertuduh.

Mohamad Afizal dituduh melakukan kesemua perbuatan terbabit di sekitar Seberang Jaya di sini pada 2017 hingga 2023, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan utama dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar memohon mahkamah agar memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana kesalahan itu melibatkan jumlah yang besar di samping mengambil kira kepentingan awam dan memberikan impak kepada masyarakat agar tidak mengulangi kesalahan sama.

Bagaimanapun, peguam M. Puveneswaran yang mewakili tertuduh merayu bagi hukuman atau denda yang paling minimum memandangkan anak guamnya merupakan anak sulung dan menyara ibu bapanya dengan ayahnya mempunyai penyakit jantung manakala tertuduh menghidap penyakit darah tinggi.

“Tertuduh masih bujang dan ini juga merupakan kesalahan pertama tertuduh. Dia sudah insaf serta berikrar tidak akan melakukan kesalahan seperti ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan