KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2025, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama 13 agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan menganjurkan Program Zikir Akbar MADANI.
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dalam satu kenyataan menerusi Facebook memaklumkan program itu dijadual berlangsung pada Jumaat ini, bermula 6 petang hingga 10.30 malam di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
Menurut Sirajuddin, penganjuran program berkenaan selaras dengan tema “Islam Mekar di Bumi Malaysia” yang bertujuan meningkatkan kefahaman dan penghayatan Islam melalui majlis ilmu.
Beliau berkata Sambutan SHWP tahun ini lebih bermakna kerana ia bertepatan dengan bulan Syaaban, yang merupakan bulan penuh keberkatan bagi umat Islam.
“Bulan ini penuh keberkatan dan membawa makna besar kepada kehidupan spiritual, selain menjadi peluang untuk membuat persediaan menyambut Ramadan.
“Oleh yang demikian, penganjuran program Zikir Akbar MADANI amat signifikan kerana ia bukan sahaja dapat menyuburkan amalan keagamaan, tetapi juga menjadi wadah untuk menyatukan umat Islam dalam menghayati nilai-nilai spiritual,” katanya.
Sirajuddin berkata aktiviti yang akan dijalankan termasuklah solat hajat, bacaan Yasin, doa selamat untuk kesejahteraan Malaysia serta tausiyah khas daripada Mufti Wilayah Persekutuan Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah dan Dekan Fakulti Usuluddin Universiti Islam Sultan Sharif Ali Brunei Darussalam Prof Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti.
Program Zikir Akbar MADANI itu juga dijadual dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
JAKIM, katanya menjemput seluruh rakyat Malaysia terutama warga Wilayah Persekutuan untuk menyertai program berkenaan yang pasti memberi makna mendalam dalam menyambut bulan yang penuh keberkatan ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial