LAHAD DATU, 29 Jan (Bernama) -- Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menahan dua warga asing dan mematahkan cubaan menyeludup rokok membabitkan nilai anggaran selepas cukai sebanyak RM871,854.40 dalam operasi di koloni setinggan atas air di Kampung Bakau di sini semalam.
Komander ESSCOM DCP Datuk Victor Sanjos berkata sejumlah 580,000 batang rokok putih pelbagai jenis dan 440 bungkusan kecil tembakau dirampas dalam operasi itu yang dilaksanakan hasil maklumat orang awam.
Beliau berkata seorang wanita dan seorang lelaki warganegara Filipina yang ditangkap dipercayai aktif dalam kegiatan menyeludup rokok tanpa cukai di sini, dan pihaknya merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda serta tiga bot enjin sangkut bernilai kira-kira RM62,000.
Mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala siasatan kes penyeludupan pula di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967, katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Victor berkata ESSCOM sentiasa memantau dan akan terus memperhebat operasi-operasi khas seperti ini bagi mengekang sebarang elemen yang boleh mengganggu-gugat keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan awam, khususnya di Pantai Timur Sabah.
“Saya amat mengalu-alukan kerjasama orang awam melaporkan terus sebarang maklumat, aktiviti dan insiden mencurigakan ke Pusat Operasi ESSCOM menerusi talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApp 011-63311072,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial