WILAYAH - SARAWAK > BERITA

UMUM BANTU BANGUNKAN SEMULA GAZA TINDAKAN BERANI, BUKA LALUAN PULIHKAN PALESTIN - PENGANALISIS

29/01/2025 06:14 PM

Oleh Muhammad Faiz Baharin

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Malaysia akan membina sebuah sekolah, hospital dan masjid sebagai usaha permulaan membantu membangunkan semula Gaza merupakan satu tindakan ke hadapan dan berstrategi dalam membuka laluan kepada pemulihan semula negara Palestin.

Pakar Geostrategi Prof Dr Azmi Hassan menyifatkan pengumuman Perdana Menteri pada ketika gencatan senjata di Palestin baru mencecah tempoh seminggu dalam fasa pertama itu, sebagai keputusan berani dan memberikan tekanan bagi memastikan perjanjian itu diteruskan dan dipatuhi sehingga fasa ketiga.

Felo Majlis Profesor Negara itu berkata ia juga membuktikan bahawa laungan Malaysia untuk membantu Palestin selama ini bukan sekadar cakap kosong atau retorik, sebaliknya disokong perancangan rapi pimpinan negara berserta sumber kewangan bagi memastikan usaha itu boleh dilaksanakan.

"Ia dibuktikan dengan kerjasama menerusi pengerusi bersama CEAPAD (Mesyuarat Peringkat Menteri bagi Persidangan mengenai Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin) yang diterajui Jepun, menunjukkan negara lain juga iktiraf peranan, usaha kita dalam membantu membangunkan semula Palestin.

"Jepun sendiri melihat Malaysia negara yang penting, berpengaruh kuat dalam hal Timur Tengah, hal Palestin kerana Perdana Menteri (Anwar) itu terkenal (sebagai) pemimpin yang vokal dalam pertahankan hak Palestin, jadi mereka pun harap kita kerana kalau nak harap sokongan kuasa Barat atau Eropah, saya fikir mereka lebih tumpu untuk bangunkan semula Ukraine," katanya kepada Bernama hari ini.

Anwar hari ini mengumumkan bantuan Malaysia dalam pembinaan semula Gaza dan Palestin akan dijalankan menerusi kolaborasi antara rakyat Malaysia dan sektor swasta.

Beliau berkata usaha pembangunan semula Gaza juga melibatkan kerjasama antara kerajaan Jepun dan Malaysia, yang berhasrat menubuhkan serta melancarkan dana melalui program Asia Timur.

Ahad lepas, gencatan senjata melibatkan tiga fasa antara kumpulan Hamas dan Israel mula berkuat kuasa dalam fasa satu meliputi tempoh enam minggu, perjanjian yang hadir hanya selepas lebih 460 hari konflik menyebabkan kemusnahan besar kepada Gaza serta meragut nyawa puluhan ribu rakyat Palestin.

Sementara itu, Penganalisis Politik Antarabangsa Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata usaha Malaysia membantu membangunkan semula Palestin dengan jalinan kerjasama negara lain sebagai satu langkah proaktif dan progresif.

"Kalau kita seorang sahaja nak bantu, mungkin akan ada kekangan kewangan, sebaliknya bekerjasama dengan negara lain menerusi usaha kolektif akan beri kemampuan kewangan yang lebih besar," katanya.

Mengulas lanjut, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata Malaysia mempunyai kelebihan selaku Pengerusi ASEAN dan hubungan baik dengan negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta pemimpin negara Arab untuk mendapatkan sokongan lebih banyak pihak bagi tujuan membangunkan Palestin.

"Boleh dapatkan sokongan Turkiye, UAE (Emiriah Arab Bersatu), Qatar kerana mereka ada kemampuan kewangan tinggi. Isu Palestin ini isu kemanusiaan, atas dasar itu kita boleh segerakan pemulihan Palestin, beri tekanan kepada Israel.

"Biarpun baru seminggu gencatan senjata, bantuan yang diumumkan itu tepat pada masanya kerana ketika ini para pelarian sudah mula pulang ke Gaza," katanya sambil memuji tindakan konsisten Perdana Menteri dalam membela nasib rakyat Palestin biarpun berhadapan tekanan daripada pihak barat.

Senada dengannya Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban, Shahidah Abdul Razak, turut mengalu-alukan keputusan kerajaan Malaysia menyegerakan bantuan pemulihan Palestin.

"Ini keputusan segera yang amat penting dilakukan kerajaan terutama dalam memberikan keutamaan berkaitan sektor kesihatan, itu paling diperlukan penduduk di sana manakala kolaborasi dengan swasta dan awam itu juga amat bagus," kata pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi itu.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan