WILAYAH - UTARA > BERITA

WANITA DIREMAN EMPAT HARI BANTU SIASATAN KES BUANG BAYI

03/02/2025 12:30 AM

KANGAR, 2 Feb (Bernama) -- Seorang wanita berusia 29 tahun direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pembuangan bayi di hadapan sebuah rumah di Jalan Kampung Rama, Kuala Sanglang, Simpang Empat dekat sini pada 19 Jan lepas.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata wanita itu yang bekerja sebagai pembantu kedai makan ditahan di sebuah rumah di Simpang Empat pada 2.55 pagi tadi.

Beliau berkata suspek yang disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi tinggal bersama empat anaknya yang masih kecil manakala suami wanita itu berada di sebuah pusat pemulihan dadah.

“Siasatan awal mendapati wanita itu dipercayai telah melahirkan bayi perempuan di dalam tandas seorang diri di sebuah rumah di Kampung Permatang Kersek, Simpang Empat kira-kira 6.30 petang, 18 Jan lepas,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Yusharifuddin berkata pada keesokannya, suspek disyaki pergi ke Kampung Rama dengan sebuah kereta milik rakannya untuk membuang bayi itu.

Bernama pada 19 Jan lepas melaporkan seorang bayi perempuan dibaluti tuala dan diletakkan dalam beg plastik beralaskan kain pelekat ditemukan di hadapan sebuah rumah di Simpang Empat dan Yusharifuddin dipetik sebagai berkata keadaan bayi itu sihat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan